POLIS di sebuah negeri di India mencetuskan kemarahan awam di negara tersebut pada Isnin selepas anggotanya dirakam bertindak membuang mayat mangsa kemalangan jalan raya ke dalam terusan.
Video tersebut yang tular memaparkan tiga anggota polis di Bihar membawa sisa badan mangsa yang masih berlumuran darah ke tengah-tengah penghadang jambatan di lebuh raya itu sebelum mencampakkanya ke bawah terusan.
Kejadian tersebut turut disaksikan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.
Sejak dimuat naik pada Ahad, klip terbabit mendapat lebih 800,000 tontonan.
Di India, pasukan polisnya secara umum dianggap sebagai pasukan keselamatan yang terpalit dengan imej rasuah dan tidak efektif dalam menjalankan tugas.
Bihar yang mempunyai populasi lebih daripada 100 juta orang merupakan salah satu negeri termiskin dan kurang maju di negara itu.
Seorang pegawai kanan polis negeri tersebut, Muzaffarpur memberitahu AFP bahawa pegawainya 'hanya mencampakkan bahagian bawah' badan lelaki itu ke dalam air.
Menrutnya, ini kerana bahagian tubuh mangsa kemalangan itu dilaporkan dihempap teruk oleh trak dan tidak dapat diselamatkan.
“Ia adalah mayat seorang lelaki warga emas yang belum dikenal pasti. Bahagian atas (badan) dihantar untuk bedah siasat tetapi bahagian bawah hancur teruk.
"Jadi mereka membuangnya ke dalam terusan,” katanya.
“Bagaimanapun, tindakan itu adalah satu kesilapan besar. Kami telah menggantung ketiga-tiga anggota polis yang berada dalam video itu.”
Selepas penularan video berkenaan, media tempatan melaporkan polis segera mencari semula dan mengeluarkan beberapa bahagian anggota badan mangsa terbabit dari terusan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram