BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan buat keluarga pelumba motosikal negara, Izzat Zaidi yang masih belum sedarkan diri.
Elysha Norizal, pasangan kepada Izzat masih lagi menantikan suaminya untuk membuka mata selepas terlibat dalam kemalangan ngeri sewaktu menyertai sesi Super-Role pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Litar Bandar Medini Iskandar, Johor.
Pada Sabtu, Izzat terlibat dalam kemalangan selepas jentera Yamaha yang ditunggangnya merempuh pengadang jalan lalu terbabas ke pagar keselamatan tepi litar.
Keadaan tersebut telah menyebabkan Izzat kini tidak sedarkan diri dan Elysha masih lagi menantikan perkembangan positif daripada suaminya itu.
Di akaun Instagram miliknya, Elysha berkongsi detik sukar menantikan suaminya untuk kembali sedar dan pulih sedia kala.
Nyata penantian itu satu perkara yang menyiksakan, situasi ini telah menerbitkan rasa rindu dalam diri Elysha terhadap suaminya itu.
"B bangunlah B, sayang rindu, anak-anak pun rindu," kata Elysha dalam Instagram Story miliknya.
Elysha masih menantikan suaminya kembali sedarkan diri. — Instagram/@elyshanorizal
Pelumba dari CKJ Racing Team itu sedang menerima rawatan dari Unit Rawatan Rapi (ICU), di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.
Lebih memedihkan, Izzat kini perlu bergantung harap kepada alat bantuan pernafasan bagi memastikan keadaannya terus stabil.
Pada Ahad, Elysha ada melakukan pengumuman mengenai situasi sukar yang melanda suaminya itu di Instagram. Selepas itu, dia menerima banyak mesej-mesej sokongan daripada rakan-rakan Izzat yang terlibat dalam dunia pemotoran.
“Izzat kini bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan buat masa sekarang dan ditempatkan di ICU Hospital Sultanah Aminah. Keadaannya sangat kritikal. Semoga ALLAH SWT mudahkan urusan dan angkat segala penyakitnya. Amin," kata Elysha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram