SETIAP daripada bapa pastinya mahu memberikan yang terbaik buat anaknya.
Ini termasuk bagi memenuhi keperluan utama diperlukan untuk memastikan anak-anak dapat membesar dalam keadaaan paling baik.
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang ayah yang tidak dapat menahan tangisan selepas dibebaskan pihak pendakwaan daripada kesalahan mencuri sebuah telefon bimbit.
Dalam klip tersebut, lelaki berkenaan juga dilihat segera melakukan sujud kesyukuran atas keputusan yang dikeluarkan oleh pihak pendakwaan.
Klip kejadian tersebut yang memaparkan insiden pada 29 Januari 2022 di Kota Pangkalpinang, Indonesia itu tular semula di X pada Isnin.
Dalam kes tersebut, lelaki berkenaan sebelum itu disiasat oleh pihak polis dan dituduh bagi kesalahan mencuri telefon bimbit.
Bagaimanapun, pasukan pendakwaan kemudiannya mengubah kes pertuduhan tersebut selepas mendapati lelaki motif lelaki terbabit melakukan jenayah tersebut adalah bertujuan bagi membolehkan anaknya mengikut kelas dalam talian di sekolah.
Ketua Pejabat Pendakwa Raya Negeri Pangkalpinang, Jefferdian berkata, penamatan pendakwaan itu dilakukan setelah pihaknya melakukan pertimbangan yang teliti termasuk membentangkannya kepada Pejabat Peguam Negara Indonesia.
"Untuk kes ini, itu sudah memenuhi syarat 'restorative justice'. Pelaku sendiri baru pertama kali melakukan tindak (pencurian).
"Mangsa terjejas dalam kes ini yang kerugian 2.5 juta Rupiah (RM751) juga sudah mencapai perdamaian bersama tertuduh selepas dibantu oleh pasukan pendakwa raya," jelasnya.
Ujarnya, siasatan lanjut yang dilakukan juga mendapat keluarga lelaki terbabit berada dalam situasi yang cukup serba kekurangan.
Sehubungan itu, Jefferdian berkata, keputusan untuk menghentikan pertuduhan kes tersebut menunjukkan bahawa keadilan harus dilaksanakan secara bijaksana dan tidak hanya semata-mata mengikut teks perundangan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram