SERANGAN udara yang dilakukan Israel ke atas Semenanjung Gaza pada Sabtu telah meruntuhkan sebuah menara yang terletak di tengah-tengah bandar tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika kedua-dua pihak berhadapan dengan pertempuran besar-besaran yang dilaporkan sudah meragut ratusan nyawa di wilayah bergolak berkenaan.
Serangan ke atas bangunan dikenali sebagai Palestine Tower atau Menara Palestin pada Sabtu itu berlaku beberapa jam selepas kumpulan pejuang Hamas, melancarkan operasi serangan besar-besaran termasuk melalui pelancaran ribuan roket ke Israel.
Serangan bom terbaharu yang dijatuhkan ke atas bangunan dipercayai merupakan kediaman penduduk itu turut dirakam secara langsung di kamera ketika wartawan Al Jazeera, Youmna ElSayed sedang membuat liputan dari bangunan lain yang berdekatan.
"Bangunan itu musnah sama sekali dan runtuh sepenuhnya," katanya selepas itu.
"Melihat kesannya terhadap semua bangunan bersebelahan dengannya, anda boleh bayangkan jumlah kemusnahan yang berlaku (di sekitarnya)." ujar Youmna.
Bagaimanapun jumlah kemalangan jiwa akibat serangan itu tidak dapat dipastikan.
Setakat ini lebih 300 nyawa dilaporkan terbunuh dalam konflik terbaharu kedua-dua pihak dengan angka kematian di Gaza lebih tinggi.
Tentera udara Israel dalam satu kenyataan berkata, jet pejuang tenteranya melancarkan serangan terhadap dua bangunan tinggi di Gaza yang mereka dakwa menempatkan 'infrastruktur ketenteraan' Hamas.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada salah satu bangunan yang dimaksudkan tentera udara itu turut membabitkan Palestine Tower.
Taktik serangan rejim Israel itu bukan perkara asing kerana mereka sering mensasarkan dan memusnahkan kediaman penduduk di Gaza yang merupakan antara kawasan dengan populasi paling padat di dunia.
Tindakan tersebut yang dirujuk oleh tentera Israel sebagai 'serangan tepat' bagi menyasarkan kumpulan bersenjata, sering kali membabitkan kawasan yang padat penduduk sehingga mengorbankan orang awam.
Semasa konflik selama 11 hari di Gaza pada 2021, Israel menyasarkan empat menara, sehingga menyebabkan tiga daripadanya musnah, termasuk satu yang menempatkan pejabat Al Jazeera dan The Associated Press.
Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di London, Amnesty International sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai taktik ketenteraan Israel.
Pertubuhan itu turut menegaskan bahawa serangan berulang kali ke atas bangunan kediaman penduduk di Gaza berpotensi mencetuskan jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram