[VIDEO] Pejuang Palestin menyusup masuk selatan Israel, lancar operasi besar-besaran


  • Benua
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Seorang lelaki Palestin mengambil swafoto di hadapan kereta kebal Israel yang terbakar selepas ia ditawan oleh pejuang Palestin yang menyusup ke kawasan selatan Israel pada Sabtu. — Reuters

PEJUANG Palestin melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel apabila pasukan tersebut dilaporkan menyusup ke kawasan selatan wilayah Israel pada awal pagi Sabtu.

Operasi itu dilakukan ketika pasukan pejuang berkenaan dilaporkan turut melancarkan serangan roket dari Semenanjung Gaza yang mengakibatkan korban seorang wanita dan mencederakan 15 individu lain, menurut pekerja perubatan Israel.

Tembakan roket itu dilepaskan dari beberapa lokasi di Gaza bermula pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu dan ia berterusan selama hampir setengah jam, lapor agensi berita AFP.

Seorang komander kanan tentera Hamas, Mohammed Deif kemudian mengumumkan permulaan operasi ketenteraan dalam siaran menerusi media pasukan pejuang tersebut dan menyeru rakyat Palestin di mana-mana untuk berperang.

Deif berkata, roket yang dilepaskan menandakan permulaan 'Operasi Ribut Al-Aqsa', menurut laporan.

"Kami memutuskan untuk mengatakan cukuplah segala apa yang sudah berlaku sebelum ini," kata Deif sambil menggesa semua rakyat Palestin untuk berhadapan menentang Israel.

"Ini adalah hari pertempuran terbesar untuk menamatkan penjajahan terakhir di wilayah ini," katanya sambil menambah bahawa 5,000 roket sudah dilancarkan.

WhatsApp Image 2023-10-07 at 4.30.49 PM (1)

Sebuah bangunan kediaman di Tel Aviv, Israel mengalami kerosakan berikutan serangan roket dari Semenanjung Gaza pada Sabtu. — AFP

Dalam pada itu, Tentera Israel memberitahu rakyatnya yang tinggal di sekitar Semenanjung Gaza untuk tetap berada di rumah mereka dan memberi amaran bahawa Hamas akan 'membayar harga yang tinggi' untuk tindakannya itu.

Media Israel melaporkan bahawa pejuang bersenjata telah melepaskan tembakan ke arah individu yang melalui bandar Sderot, di selatan Israel.

Rakaman yang tular tersebar di media sosial turut memaparkan pejuang Palestin beruniform yang terlibat dalam pertempuran di bandar tersebut yang terletak di sempadan kedua-dua wilayah bergolak itu.

Turut dikongsikan di media sosial adalah insiden kereta kebal Israel yang sudah terbakar.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan bertemu dengan pegawai keselamatan tertingginya pada pagi Sabtu.

Rob Reynolds dari Al Jazeera, melaporkan dari Timur Baitulmaqdis, berkata serangan mengejut yang dilakukan pejuang Palestin pada Sabtu itu merupakan satu kejutan yang begitu hebat buat Israel.

Pertempuran pada Sabtu berlaku selepas beberapa minggu ketegangan semakin meningkat di sepanjang sempadan Israel dengan Gaza, di samping pertempuran di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Sekurang-kurangnya 247 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel setakat tahun ini, manakala 32 warga Israel dan dua warga asing terbunuh dalam serangan membabitkan pihak pejuang Palestin.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Telegram, Hamas menyeru 'pejuang penentang di Tebing Barat' dan 'negara Arab dan Islam' untuk menyertai pertempuran terbabit.

Seorang pemimpin Hamas yang dalam buangan, Saleh al-Arouri berkata, operasi pada Sabtu adalah tindak balas 'kepada jenayah penaklukan' yang dilakukan Israel ke atas Palestin.

Menurutnya, pejuang Palestin mempertahankan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan berjuang untuk ribuan tahanan Palestin yang ditahan Israel.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant meluluskan pengerahan pasukan simpanan tentera pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap operasi Hamas, kata jurucakap kementerian pertahanan Israel.

Tentera Israel turut mengisytiharkan 'kesiapsiagaan perang' pada awal pagi Sabtu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram