[VIDEO] Pelampau Israel serang Masjid Al-Aqsa, halau jemaah beribadah di bulan Ramadan


  • Benua
  • Selasa, 28 Mac 2023

Tangkap layar serangan pelampau Israel terhadap umat Islam ketika menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

PELAMPAU Israel sekali lagi mengganas di bulan Ramadan apabila bertindak menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa dan menghalau umat Islam daripada menunaikan solat pada Ahad lepas.

Serangan ke atas Masjid Al-Aqsa yang merupakan tapak ketiga paling suci dalam Islam itu berlaku pada pagi Ahad apabila sebilangan jemaah dihalau daripada kawasan tersebut.

Menurut sebuah badan yang mentadbir Al-Aqsa, pelampau Yahudi turut menunaikan ibadah di tapak tersebut selepas Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir meluluskan serbuan polis ke atas masjid berkenaan.

Hari pertama Ramadan menyaksikan hampir 300 pelampau Yahudi menyerbu perkarangan masjid tersebut.

Di bawah perjanjian status quo yang dilaksanakan di Al-Aqsa, ibadah solat di tapak berkenaan dikhaskan hanya untuk umat Islam dan penganut agama lain hanya dibenarkan melawat.

Namun, Ben-Gvir pada Jumaat berkata, orang Yahudi berhak untuk pergi ke mana-mana kawasan di Baitulmaqdis dan mencetuskan kekecohan susulan serbuan yang dilakukan di Al-Aqsa pada Januari lalu.

Serbuan pelampau Israel berlaku apabila langkah keselamatan dipertingkatkan di setiap pintu masuk masjid bagi menghalang puluhan jemaah daripada memasuki ke kawasan tersebut.

Dalam pada itu, pada malam Sabtu, pelampau Israel menyerbu surau Al-Qibli dan menyerang jemaah yang menunaikan solat.

Ketua Jawatankuasa Tertinggi Islam di Baitulmaqdis, Sheikh Ekrama Sabri memberi amaran keras berkaitan kempen penentangan masjid yang bakal dilakukan.

Menurutnya, kempen yang bermula pada Sabtu itu menggesa perhimpunan mengelilingi Al-Aqsa diadakan bagi menguatkan pertahanan di tapak berkenaan.

Peguam Khaled Zabarqa berkata, umat Islam mempunyai hak yang sah untuk menunaikan ibadah itikaf di Al-Aqsa yang merujuk kepada amalan tinggal di masjid dan menunaikan ibadah dalam tempoh tertentu khususnya di bulan Ramadan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram