ISRAEL tidak membenarkan penduduk Palestin berada dalam keadaan aman, apabila melancarkan serangan di wilayah yang diduduki dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Pada Rabu, rejim pengganas itu melakukan serangan di bandar Nablus, di Tebing Barat yang diduduki, mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh.
Sehari selepas itu, rejim Zionis melancarkan serangan bom di Semenanjung Gaza, menyebabkan kepulan asap hitam naik di salah satu lokasi yang disasarkan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu.
Israel melancarkan serangan roket itu selepas selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk serangan rejim Zionis di Nablus pada Rabu sebagai jenayah besar dan perlu mendapat pembalasan.
Jurucakap Hamas, Abu Obeida berkata: "Serangan terhadap rakyat kita semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki. Kesabaran kita semakin habis."
Serangan di Nablus adalah adalah salah satu operasi rejim pengganas Israel paling dahsyat di Tebing Barat yang diduduki sejak Intifada kedua atau pemberontakan Palestin pada 2000 hingga 2005.
Selain menyebabkan kematian 11 penduduk Palestin, serangan itu turut mengakibatkan 102 yang lain cedera.
Ribuan menghadiri majlis pengebumian 11 rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan rejim Zionis Israel di Nablus pada Rabu.— Agensi
Kira-kira 82 daripada mereka terkena peluru, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Tentera Zionis mengaku menembak mati tiga individu yang dikehendaki. Bagaimanapun individu lain tidak bersalah turut menjadi mangsa serangan Zionis termasuk dua warga emas.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seorang warga emas yang dikenali Adnan Saabe Baara telah ditembak.
Rakaman video menunjukkan mayat lelaki berusia 72 tahun itu berada di bahu jalan bersama beg yang diletakkan roti berhampiran sebuah pasar.
Sementara itu, seorang lagi warga emas, Abdul Hadi Ashqar dan remaja berusia 16 tahun turut ditembak mati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram