[VIDEO] Israel dimalukan pejuang Palestin, terpaksa kerah helikopter penyerang dalam tempoh 20 tahun


  • Benua
  • Rabu, 21 Jun 2023

Helikopter digunakan Israel semasa serangan terhadap kem pelarian di Tebing Barat Kota Jenin pada Isnin. — Agensi

SERANGAN terbaru tentera Israel terhadap kem pelarian di Tebing Barat Kota Jenin pada Isnin mengorbankan lima rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seramai 91 orang turut tercedera dengan 23 daripadanya mengalami kecederaan parah dan sederhana.

Serangan pada Isnin itu merupakan operasi terbesar dilakukan di kawasan itu sejak 26 Januari 2023, iaitu serbuan yang mengorbankan seramai 10 rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita.

Dalam pada itu, serangan terbaharu berkenaan dilapor turut merekodkan beberapa perkembangan signifikan terhadap konflik di kawasan tersebut dengan Israel mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh tenteranya mengalami kecederaan, iaitu satu jumlah yang agak jarang berlaku.

Askar terbabit dilaporkan cedera apabila pejuang Palestin memasang alat letupan di kenderaan tentera Israel yang menyerang kem tersebut.

190623_Jenin_ZU_00-7-1024x592

Kenderaan tentera Israel yang rosak selepas diserang oleh pejuang Palestin ketika mereka melakukan operasi di kem pelarian di Tebing Barat Kota Jenin pada Isnin.— Agensi

Selain itu, tentera Israel turut mengerahkan buat kali pertamanya menggunakan helikopter dalam serangan tersebut sejak Intifada kedua yang berlaku pada awal 2000.

Video tular di media sosial menunjukkan helikopter tersebut menembak ke arah kem pelarian yang padat dengan penduduk.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, helikopter itu menembak ke arah pejuang Palestin untuk membantu tentera mereka yang cedera untuk keluar dari kem.

Al Jazeera melaporkan bahawa roket ditembak dari helikopter dengan sebuah pesawat pengawasan dilihat turut berlegar di ruang udara kawasan tersebut semasa serangan.

Tentera Israel dilaporkan berundur dari kem tersebut sekitar pukul 3:20 petang waktu tempatan pada Isnin.

Menurut Middle East Eye, serangan terbaharu itu difahamkan bertujuan bagi menyasarkan dua warga Palestin, termasuk aktivis Hamas berusia 36 tahun, Assem Abu al-Haija. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram