SEORANG aktivis alam sekitar di Amerika Syarikat (AS) mati ditikam di New York ketika sedang berada di sebuah tempat menunggu bas bersama teman wanitanya pada awal pagi Isnin selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.
Difahamkan, kejadian berlaku melibatkan serangan daripada seorang individu tidak dikenali yang secara tiba-tiba melakukan tikaman rambang terhadap mangsa, Ryan Carson, 32.
Menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, Ryan dan teman wanitanya pada mula dilihat sedang duduk di stesen bas dekat Bedford-Stuyvesant, New York kira-kira pada pukul 4 pagi Isnin.
Kedua-dua pasangan itu juga dilihat masih memakai pakaian yang dikenakan ketika menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan beberapa jam sebelumnya.
Bagaimanapun, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul di lokasi dan dilihat berada dalam keadaan marah sambil berjalan di melintasi mereka sebelum menolak sebuah motor skuter berdekatan.
Suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan membunuh Ryan. — Agensi
Rakaman keselamatan yang diperoleh The Post pada Selasa menunjukkan lelaki itu kemudiannya menoleh dan menjerit ke arah pasangan tersebut yang ketika itu sedang memandang perbuatan suspek.
Susulan daripada situasi itu, lelaki terbabit didapati mula bertindak agresif dengan menolak dan memukul muka Ryan.
Menerusi video klip berkenaan, Carson dipercayai turut meminta lelaki tersebut bertenang, namun penyerang itu mula menjerit dan memberikan ancaman bunuh dengan mengeluarkan pisau sebelum bertindak menikamnya berkali-kali di bahagian dada.
Foto Ryan bersama teman wanitanya ketika menghadiri majlis perkahwinan sebelum kejadian serangan meragut nyawanya. — Agensi
Suspek kemudian kelihatan meludah ke arah muka teman wanita Ryan dan menendang mangsa yang sedang terbaring berdarah di atas tanah, sebelum melarikan diri.
Ekoran daripada itu, teman wanita mangsa menghubungi 911 dengan Ryan dimasukkan ke hospital namun tidak dapat diselamatkan akibat luka tikaman telah mengenai jantungnya.
Media melaporkan, suspek pembunuhan tersebut masih gagal dikesan sehingga Selasa.
Susulan daripada kejadian tersebut, turut tular gambar menyayat hati yang merakamkan foto diambil Ryan bersama teman wanitanya beberapa jam sebelum kejadian ketika menghadiri majlis perkahwinan tersebut.
Ciapan oleh teman wanita Ryan di X mengenai nota yang ditinggalkan mangsa di dalam telefon pintarnya. — Agensi
Menerusi gambar tersebut, aktivis itu dilihat memakai sut kelabu, iaitu pakaian yang dipakai ketika kejadian manakala teman wanitanya pula mengenakan gaun berwarna biru.
Pada masa sama, teman wanita Carson yang dikenali sebagai Claudia turut berkongsi nota terakhir yang menyayat hati dijumpai tertulis dalam telefon pintar pasangannya itu.
"Apa yang saya mahu adalah untuk menyayangi Claudia lebih daripada yang pernah dirasainya. Sejujurnya, dia memang layak untuk merasai perkara itu," tulis nota tersebut yang ditangkap layar dan dikongsikan di X.
“Saya jumpa nota ini dalam telefon Ryan,” tulisnya dalam catatan di X, yang kemudiannya diletakkan dalam mod peribadi.
Ryan terkenal kalangan rakan dan komunitinya seorang pemimpin aktivis alam sekitar yang begitu komited dalam isu diperjuangkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram