HASRAT seorang lelaki untuk mengahwini kekasihnya yang sudah dikenali sejak lebih enam tahun berakhir duka selepas teman wanitanya itu maut dalam tragedi lif runtuh di Bali, Indonesia pada Jumaat lalu.
Menurut Ngurah Krisna, pasangannya, Kadek Hardiyanti, 24, itu merupakan salah seorang daripada lima orang pekerja di resort pelancongan terbabit yang meninggal dunia selepas jatuh dari ketinggian 100 meter(m).
Tangkap layar video memaparkan operasi dilakukan bagi mengeluarkan lima individu maut dalam kejadian lif runtuh di Bali, Indonesia.
Ngurah berkata, sebelum kejadian, dia dan Kadek atau lebih mesra dipanggil Dek Ani sememangnya merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat apabila mereka berkongsi perancangan masing-masing untuk menjayakan hasrat tersebut.
"Dek Ani sangat menyokong saya bekerja ke luar negeri. Rancangannya, saya akan berangkat dulu, lepas setahun kami akan menikah," katanya yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika ditemu bual media tempatan.
Ngurah (kanan) ketika berada di hospital bagi melawat mayat Kadek yang terkorban dalam tragedi lif runtuh di Bali Indonesia pada Jumaat lalu. — Agensi
Menceritakan lebih lanjut, Ngurah berkata, dia tidak menyangka bahawa teman wanitanya itu akan pergi menghadap Ilahi kerana sebelum kejadian, hubungan dia dan Kadek dikatakan semakin dekat dan mereka juga lebih kerap bertemu.
Bagaimanapun, menurutnya, kekasihnya itu ada menunjukkan beberapa tanda pelik sebelum hari berlakunya kejadian malang berkenaan.
"Sehari sebelum kejadian, dia tiba-tiba jadi pelupa. Sejak beberapa hari lalu, biasanya tak suka buat story di WhatsApp, tiba-tiba dia suka. Saya tak tahu apakah itu tanda-tanda," ujarnya.
Tragedi maut lif runtuh yang difahamkan berlaku kira-kira pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan itu berlaku apabila tali pada keluli lif tersebut terputus dan menyebabkan ia menjunam jatuh ke bawah.
Situasi itu sekali gus mengakibatkan lima individu di dalam lif tersebut terhempas ke tanah dan mengalami kecederaan parah ketika kejadian. Kelima-lima mangsa maut berusia antara 19 hingga 24 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram