
SEORANG kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun dipercayai patah dan retak tulang pada bahagian tangan ketika bermain di tangga permainan pada Sabtu.
Menerusi video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah tadika menunjukkan beberapa kanak-kanak sedang bermain sesama sendiri tanpa sebarang pengawasan oleh guru di tempat kejadian.
Menurut info yang dikongsikan oleh pengguna aplikasi Telegram, kejadian tersebut difahamkan berlaku di luar negara.
Rakaman yang berdurasi lebih dari satu minit itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan tersilap langkah sebelum terjatuh ketika mahu menuruni tangga permainan itu.
Kanak-kanak tersebut juga difahamkan terjatuh pada ketinggian dua meter ketika kejadian berlaku.
Menurut bapa kepada mangsa kejadian, guru yang bertugas tidak memantau anaknya yang sedang bermain di tempat kejadian pada ketika itu.
"Saya menyemak CCTV tadika mendapati guru tidak menjaga anak saya ketika anak saya sedang bermain.
"Selepas anak saya terjatuh, guru buat seperti tiada apa-apa dan tidak panik. Bukannya hantar anak kami ke hospital malah, tunggu kami datang baru bertindak," katanya.
Difahamkan, sehingga kini kanak-kanak itu tidak dapat meluruskan tangan akibat daripada insiden yang berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram