ENAM kakitangan Perbadanan Penyiaran termasuk wartawan Sudan Selatan sudah dipenjara selepas dipercayai merakam video yang menunjukkan Presiden Salva Kiir yang tanpa sedar terkencing di khalayak ramai.
Video yang kembali tular di media sosial sejak Isnin menunjukkan Kiir membuang air kecil ketika lagu kebangsaan dimainkan pada acara yang diadakan pada Disember 2022.
Dalam video itu, Kiir, 71, sedang berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan di pembukaan jalan raya baharu, apabila dilihat tidak sedar yang dirinya terkencing pada majlis itu.
Pada masa yang sama, pegawai pengiring hanya menyedari perkara tersebut apabila air kencing terkena kaki pemimpin berkenaan dan kru rakaman yang menyiarkan siaran langsung perasmian itu segera mengalihkan kamera.
Kes itu mendapat perhatian Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CJP) yang menggesa agar wartawan yang ditahan itu dibebaskan.
Kumpulan hak asasi manusia di Afrika itu juga menggesa pihak berkuasa untuk berhenti mengganggu dan mengancam wartawan.
Menurut wakil CJP sub Afika, Muthoki Mumo, penangkapan pada masa itu dilakukan kerana didapati membuat liputan yang mungkin dianggap tidak memihak kepada presiden atau kerajaan.
Bagaimanapun, syarikat penyiaran itu berkata, rakaman tersebut tidak pernah disiarkan meskipun ia tular di media sosial. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram