[VIDEO] Kejadian langgar motosikal peronda insiden lama, bukan disengajakan — Polis Perak


  • 112
  • Selasa, 19 Sep 2023

Tangkap layar video tular itu di media sosial.

VIDEO tular di media sosial berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal melanggar motosikal anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) merupakan insiden pada 26 April lalu di Muallim, Perak.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, status yang ditulis di video berkenaan tidak benar sama sekali serta tidak menggambarkan apa sebenarnya yang berlaku.

Katanya, pada Isnin pihaknya mengesan satu video pendek di media sosial dengan status 'Di saat rakyat dianiaya oleh pemimpin negara' serta 'Izinkan kami langgar apa yang ada depan mata'.

"Video terbabit mendapat banyak komen negatif daripada warganet.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim ingin menjelaskan bahawa kejadian sebenar yang berlaku itu adalah pada 26 April lalu.

"Dua anggota URB IPD Muallim menghala ke kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bersih, Slim Village selepas menerima maklumat berkaitan kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar Mohd Hasni, semasa dalam perjalanan tersebut, anggota URB bertanyakan lokasi sebenar kepada sekumpulan penduduk tempatan.

Bagaimanapun, ketika hendak menghala ke tempat kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang seorang penduduk kampung secara rapat tidak sengaja melanggar bahagian belakang motosikal anggota URB.

"Pelanggaran tersebut tidak menyebabkan apa-apa kerosakan dan telah diselesaikan secara baik," katanya lagi.

Justeru katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan persepsi negatif boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram