Budak setahun maut disyaki dipijak hingga pecah usus, polis tahan 9 individu termasuk ibu muda


  • 112
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan usus pecah dipercayai dipijak dan terdapat kesan pukul. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang remaja perempuan dan teman lelakinya serta tujuh lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, disyaki merupakan mangsa dera.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, semua mereka terdiri empat lelaki dan lima wanita yang kesemuanya berusia 16 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Perai, pada Ahad bagi membantu siasatan.

"Pada 7 malam Sabtu, polis di Kaunter Aduan Balai Polis Seberang Jaya telah menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) berhubung seorang pesakit iaitu kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia satu tahun telah meninggal dunia.

"Hasil siasatan yang dijalankan, mangsa dibawa ke HSJ oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mengatakan kanak-kanak itu pengsan dan memerlukan rawatan sebelum suspek kemudiannya beredar dan meninggalkan mangsa di hospital," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 17.19.30

Cheng San berkata, empat lelaki dan lima wanita yang kesemuanya berusia 16 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Perai pada Ahad. Bernama

Katanya susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan semua sembilan individu termasuk suspek utama iaitu lelaki yang menghantar mangsa ke HSJ untuk menerima rawatan.

Cheng San berkata, berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 16 tahun itu merupakan ibu kepada kanak-kanak malang tersebut yang tidak lagi bersekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Ujarnya, remaja itu meletakkan anaknya untuk dijaga teman lelakinya berusia 34 tahun ketika dia keluar bekerja dan lelaki yang tidak bekerja itu disyaki suspek utama dalam kes ini.

"Selain itu, kami turut menahan seorang lagi remaja perempuan berusia 16 tahun iaitu rakan kepada ibu mangsa dan nenek kanak-kanak tersebut bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya lagi, siasatan polis juga mendapati nenek kanak-kanak itu sudah lama mengenali suspek utama dan tahu mangsa dijaga olehnya ketika ibu mangsa keluar bekerja.

Beliau berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan usus pecah dipercayai dipijak dan terdapat kesan pukul.

"Semua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram