[VIDEO] Jet persendirian terbelah dua lepas terbabas ketika mendarat dalam cuaca buruk di Mumbai


  • Benua
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Keadaan pesawat persendirian terbabit selepas terbabas ketika cuba melakukan pendaratan di lapangan terbang Mumbai, India pada Khamis. — Agensi

SEBUAH pesawat persendirian dilaporkan terbabas ketika cuba membuat pendaratan ketika cuaca hujan lebat di lapangan terbang Mumbai, India pada Khamis.

Rakaman mengenai kejadian kemalangan menakutkan itu turut tular menerusi satu video daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Menerusi klip berdurasi 13 saat tersebut, pesawat berkenaan dilihat mendarat dengan agak kuat di landasan dengan badan jet itu dilihat berada dalam posisi senget ke kanan.

Sebuah pesawat lain dilihat turut berada di landasan berdekatan ketika kejadian yang berlaku berhampiran Landasan 27 lapangan terbang Mumbai.

Video lain berkenaan kejadian itu yang merakamkan keadaan pesawat susulan kemalangan menyaksikan rangka badan jet terbabit dilihat terbelah dua dengan terdapat serpihannya yang masih terbakar

Dilaporkan, jarak penglihatan ketika insiden tersebut adalah sekitar 700 meter dengan klip berkenaan turut memaparkan keadaan cuaca hujan lebat dan mendung.

Bagaimanapun, dalam kejadian terbabit, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dengan kesemua lapan penumpang termasuk tiga anak kapal kini sedang menerima rawatan di hospital.

Penerbangan pesawat sebelum itu dilaporkan berlepas dari Visakhapatnam di Andhra Pradesh, India.

Sementara itu, pihak berkuasa pengawal selia penerbangan kebangsaan india, DGCA pesawat terlibat ialah jenis Learjet 45, iaitu jet penerbangan ringan terdiri daripada sembilan tempat duduk dan dibina oleh syarikat berpangkalan di Kanada, Bombardier Aviation.

Katanya, jet persendirian berkenaan juga berdaftar di bawah VSR Ventures yang dipercayai merupakan firma pembangunan hartanah berpangkalan di Bengaluru India. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram