[VIDEO] Bayi umur setahun merangkak keluar cari ibu lepas kemalangan dua trak


  • Benua
  • Rabu, 13 Sep 2023

Tangkap layar kejadian seorang bayi merangkak keluar daripada trak yang hancur dan berlari ke arah ibunya.

SEORANG bayi dilaporkan terselamat dalam kemalangan membabitkan dua trak di Sumatera, Indonesia pada Sabtu lalu.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang melalui lokasi kejadian, anak kecil yang bernama Fatih Akbar itu dilihat cuba merangkak keluar daripada trak tersebut untuk mencari ibunya, Sri Devi.

Selepas berjaya keluar, bayi itu dilihat berlari semula ke arah ibunya yang masih terperangkap dalam lori yang remuk itu.

Dalam masa sama, Sri Devi juga dilihat berusaha untuk keluar dari pintu lori yang berwarna kuning dan ungu berkenaan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku di jalan sekitar wilayah Lampung di Indonesia.

Ketua Polis Trafik Lampung Tengah, Wahyu Dwi Kristanto berkata, nahas itu disyaki berpunca daripada pemandu trak kuning dan ungu tersebut tertidur ketika memandu.

"Kami mengesyaki pemandu trak tersebut tertidur ketika memandu menyebabkan kenderaannya terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi trak lain.

"Kedua-dua pemandu trak itu terselamat namun salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di kepala, melecet di muka dan patah kaki kanan," katanya lapor CNN Indonesia.

Wahyu berkata, Sri Devi turut mengalami kecederaan manakala anak lelakinya lebam di mata kiri dan melecet di muka.

Ujar Sri Devi pula, dia dan anaknya sedang tidur ketika kemalangan itu berlaku.

"Saya tidak tahu Fatih berada di luar trak sehingga dia datang ke arah saya," katanya sambil menambah anaknya berada dalam keadaan baik dan telah dirawat di hospital berdekatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram