'Siasatan lambat sangat, penat emosi', ibu kecewa anak disyaki kena dera pengasuh belum dapat keadilan


  • Tular
  • Selasa, 18 Jul 2023

Nifael dimasukkan ke hospital pada April tahun ini apabila dia kerap muntah hingga badannya menjadi lesu. — Twitter/N.S.

SEORANG ibu meluahkan kekesalannya apabila mendapati siasatan bagi mendapatkan keadilan buat anaknya yang didakwa didera pengasuh pada April lalu berjalan agak perlahan.

Menerusi hantaran yang dibuat di Twitter @nuri_ririnx baru-baru ini, proses berkenaan mengambil masa lebih tiga bulan dengan kertas siasatan bagi kes tersebut difahamkan dirujuk ke pihak pendakwa negeri dan pihak polis juga sudah memohon untuk mendapatkan laporan perubatan penuh daripada hospital.

"Sampai bilalah Nifael nak dapat keadilan macam ini. Kes dari 5 April letak pada pengasuh tak sampai tiga minggu, retak kepala, pendarahan dalam otak dan pendarahan kedua-dua belah mata (shaken baby syndrom). Sekarang dah Julai, siasatan sangat lambat, penat emosi," ciapnya.

Menceritakan mengenai kejadian malang menimpa anak lelakinya yang dikenali sebagai Nifael, wanita tersebut berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila mendapati anaknya kerap muntah hingga badannya menjadi lesu.

Pembedahan pertama untuk mengeluarkan cecair darah dalam kepala Nifael. — Twitter/N.S.

"Kami baru hantar Nifael ke pengasuh pada 20 Mac 2023 sebab baru pindah dari Teluk Intan ke Ipoh. Bermula 5 April 2023, Nifael muntah-muntah, ingat salah bagi makan sampailah hari Jumaat tengah hari balik kerja terus aku bawa pergi klinik. Masa ini doktor kata Nifael dah dehydrated.

"Kami ada inform pengasuh beritahu Nifael muntah-muntah dan kalau tengok Nifael masa itu pun memang dah lain, tapi aku pelik pengasuh ni macam tak perasan anak aku lain macam (lesu). Dia kata Nifael tidak muntah di rumahnya, padahal di rumah memang Nifael asyik muntah saja," katanya.

Kongsinya lagi, setelah menerima rawatan di hospital, doktor mendapati tonsil anaknya bengkak dan Nifael muntah sepanjang lima hari berada dalam wad.

Tangkap layar perbualan antara ibu tersebut dengan pengasuh Nifael. — Twitter/N.S.

Malah, setelah pulang ke rumah, Nifael masih lagi kerap muntah, malah keadaannya lebih teruk berbanding sebelum ini.

"Dia asyik tidur dan kerap menangis (sambil) tarik-tarik rambut. Kami suami isteri sampai tak tahu nak buat apa lagi. Sehinggalah 18 April, aku tengah kerja dan tak perasan ada call daripada pengasuh. Bila suami call baru angkat.

"Guess what, rupanya Nifael sawan dekat rumah pengasuh! Ya ALLAH masa ni Tuhan sajalah tahu perasaan aku. Terus aku ambil dia di rumah pengasuh dan bawa pergi hospital. Sepanjang dalam kereta Nifael tak berhenti kejang.

"Sampai hospital terus doktor intubate sebab Nifael tak berhenti kejang. Masa nak intubate doktor tanya bila Nifael last susu, lalu aku tanya pengasuh, dia kata Nifael tak susu lagi dekat rumah dia, (bayangkan) masa itu pukul 1 petang dah, maknanya anak aku dibiarkan tidur tanpa diberi susu," katanya.

Tangkap layar perbualan antara ibu tersebut dengan pengasuh yang dikenali sebagai Kaksha. — Twitter/N.S.

Selepas diintubasi, doktor mengesyaki kanak-kanak berkenaan mempunyai trauma hentakan, kemudian dia dibawa untuk menjalani Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan).

Jelasnya, keputusan CT Scan menunjukkan Nifael mempunyai pendarahan dalam kepala dan retak, pada malam yang sama juga doktor mengeluarkan cecair darah dalam kepala.

"Masa dalam emergency, doktor tanya (anak) ada jatuh ke tak, di rumah memang tidak ada jatuh. Doktor syak ada penderaan di rumah pengasuh. Terus laki aku pergi rumah pengasuh, tanya dia depan-depan, masalahnya dia cakap tidak ada jatuh.

"Tapi sebelum anak aku kena sawan, memang aku dah nampak ada kesan lebam dan calar di mulut dia. Nasib baik aku ambil gambar. Bila aku tanya tentang lebam tu baru dia beritahu Nifael ada tersembam. Bukan sekali ya, tapi berkali-kali," luah wanita tersebut.

Menurut perkongsian sama, ibu itu meluahkan rasa syukur melihat perkembangan anaknya yang semakin baik selepas menjalani tiga kali pembedahan dalam masa tiga bulan ini.

Apatah lagi, doktor turut mengakui Nifael bernasib baik kerana kebanyakan kanak-kanak yang mengalami kes seperti itu biasanya akan menemui ajal ataupun menjadi orang kurang upaya (OKU).

Keadaan Nifael yang semakin sihat setelah menjalani tiga kali pembedahan. — Twitter/N.S.

Dia juga terpaksa berkorban dengan mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga sendiri anaknya di rumah.

"Disebabkan kecuaian dan kegopohan pengasuh, anak aku yang lahir elok sempurna, sekarang ada 'tube' dalam kepala dan tak boleh main sukan lasak apabila dah besar nanti.

"Terlalu besar impak kecuaian orang lain pada keluarga kecil kami, sedih sangat sebab siasatan polis lambat sangat, dah lebih tiga bulan. Kami hanya mahukan keadilan untuk Nifael. Tak adil untuk dia kalau aku diamkan diri dan maafkan kecuaian pengasuh macam itu saja," luahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram