[VIDEO] Bom tangan makan tuan, geng perompak 'mati katak' kereta meletup semasa cuba larikan diri


  • Benua
  • Khamis, 07 Sep 2023

Kejadian letupan tersebut turut dirakam oleh kamera CCTV di lokasi kejadian di Ecuador. — Agensi

SEKUMPULAN penjenayah di Ecuador maut selepas kereta dinaiki mereka untuk melarikan diri meletup akibat daripada bom tangan yang tidak disedari berada dalam kenderaan terbabit.

Kejadian berkenaan berlaku ketika kumpulan tersebut yang terdiri daripada enam individu itu cuba untuk melarikan diri selepas melakukan serangan tembakan terhadap sebuah rumah.

Difahamkan, bom tangan tersebut sepatutnya dicampakkan ke lokasi serangan.

Bagaimanapun, salah seorang penjenayah yang bertanggungjawab melaksanakan tugasan itu dipercayai membuat kesilapan apabila sebaliknya meletakkan pin bom tangan berkenaan.

Situasi tersebut menyebabkan bahan letupan berkenaan secara tidak sedar turut dibawa masuk kembali ke dalam kenderaan terbabit.

Kejadian ngeri yang berlaku pada Sabtu lalu itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Menerusi klip tersebut, keenam-enam penjenayah terlibat dilihat melakukan tembakan rambang ke sebuah kediaman sebelum segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kereta terbabit didapati meletup.

Empat daripada individu terbabit maut manakala dua lagi cedera parah dan sedang dirawat di hospital. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram