Tiga kesilapan pengadil punca Man United kalah — Ten Hag


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Erik ten Hag anggap pengadil 'merompak' kemenangan Manchester United ke atas Arsenal. — Agensi

PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang dianggap sebagai langsung tidak berpihak kepada pasukannya.

Dalam aksi English Premier League (EPL) antara Arsenal dan United, The Red Devils terpaksa pulang hampa dari utara London selepas tumbang pada waktu kecederaan separuh masa kedua di Emirates.

Marcus Rashford meletakkan United mendahului pada separuh masa pertama tetapi tidak sampai seminit tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi penyudah cemerlang Martin Odegaard.

Kontroversi berlaku pada 10 minit terakhir perlawanan apabila pemain gantian, Alejandro Ganarcho berjaya meloloskan diri untuk menewaskan Aaron Ramsdale untuk memberikan pendahuluan kepada United namun gol itu dinafikan oleh sistem VAR kerana ofsaid.

Declan Rice muncul wira Arsenal apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan sebelum Gabriel Jesus mengesahkan tiga mata tuan rumah beberapa minit kemudian.

Bercakap selepas perlawanan, Ten Hag menyalahkan pengadil VAR, Jarred Gillet kerana melihat kepada sudut yang salah sewaktu melakukan semakan. Kesilapan itu seterusnya mempengaruhi keputusan pengadil perlawanan, Anthony Taylor untuk membatalkan gol Ganarcho.

Ten Hag juga memberikan dua lagi kesalahan pengadil apabila Taylor tidak memberikan penalti selepas Rasmus Hojlund dijatuhkan dalam kotak penalti dan Jonny Evans dikasari sewaktu jaringan Rice.

3777805-76846028-2560-1440

Rice menjaringkan gol pertamanya bersama Arsenal ketika menentang Manchester United. — Agensi

"Saya rasa pasukan saya bermain dengan baik dalam perlawanan ini, tetapi segala (keputusan pengadil) tidak berpihak kepada kami.

"Ia adalah tidak ofsaid (gol Ganarcho). Ia (disemak) dengan menggunakan sudut yang salah. Ia sepatutnya penalti diberikan selepas Hojlund dijatuhkan dan (sepakan percuma) ketika kami memboloskan gol apabila Jonny Evans dikasari - jelas dan nyata," kata Ten Hang penuh kecewa.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua skuad Ten Hag tewas musim ini dan kesemuanya berlaku sewaktu lawatan mereka ke utara London. Sebelum ini, The Red Devils kalah kepada Tottenham Hotspur.

Kekalahan ini membawa United jatuh ke tangga ke-11 EPL dan ujian seterusnya yang menanti adalah bertemu Brighton & Hove Albion.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram