Didakwa serang bekas kekasih, Brazil ketepikan bintang Man United


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Gabriela mendakwa penyerang Brazil tersebut melakukan serangan fizikal. — Agensi

PENYERANG Manchester United, Antony Matheus dos Santos digugurkan daripada skuad Brazil berikutan dakwaan melakukan keganasan fizikal terhadap teman wanitanya.

Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) mengumumkan bahawa Antony diketepikan dari skuad menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru.

Keputusan itu diambil selepas saluran media Brazil UOL menyiarkan dakwaan daripada bekas teman wanitanya, Gabriela Cavallin yang mendakwa penyerang Brazil tersebut melakukan serangan fizikal.

Bintang United itu bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan mengesahkan dia sudahpun memberikan keterangannya kepada polis.

"Sejak awal saya telah menangani isu ini dengan serius dan penuh hormat, memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada pihak berkuasa polis.

"Saya boleh mengatakan dengan yakin bahawa tuduhan itu adalah palsu. Bukti yang telah dikeluarkan dan banyak lagi yang perlu dikemukakan akan menunjukkan bahawa saya tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibuat.

"Saya percaya bahawa siasatan polis yang sedang dijalankan akan menunjukkan kebenaran bahawa saya tidak bersalah," katanya.

Terdahulu Gabriela mendakwa bahawa pemain United dan Brazil tersebut menyerangnya sekitar bulan Jun 2022 dan Mei 2023.

Gabriela memfailkan aduan polis terhadap Antony di Sao Paulo, Brazil pada Jun 2023 dan difahamkan kini pemain itu sedang disiasat oleh mahkamah Sao Paulo kerana keganasan rumah tangga terhadap bekas teman wanitanya.

Jurucakap Sekretariat Keselamatan Awam Brazil mengesahkan kepada Reuters bahawa siasatan polis sedang dijalankan.

Susulan perkara tersebut, pengendali Brazil, Fernando Diniz memanggil penyerang Arsenal, Gabriel Jesus untuk menggantikan Anthony dalam dua perlawanan yang dijadualkan.

Brazil bakal menerima kunjungan Bolivia pada Jumaat dan melawat Peru empat hari kemudian ketika mereka memulakan kempen kelayakan Piala Dunia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram