MANCHESTER United mengalami kekalahan kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila tewas kepada Arsenal di Stadium Emirates, London pada Ahad.
Selepas mendahului pada minit ke-27 menerusi gol Marcus Rashford, skuad The Red Devils dibolosi tidak lama selepas itu apabila tuan rumah mengikat kedudukan menerusi gol Martin Odegaard.
Meskipun terdapat asakan demi asakan sepanjang permainan, pasukan kendalian Erik ten Hag terus buntu untuk mendapatkan jaringan kelebihan.
Kegagalan untuk mencari gol kedua akhirnya membawa padah apabila Arsenal menghukum kelalaian benteng pertahanan dengan gol lewat Declan Rice pada masa kecederaan.
Arsenal meraih kemenangan penting ke atas Manchester United dalam EPL. — Agensi
Luka di hati penyokong Manchester United diburukkan apabila penyerang gantian The Gunners, Gabriel Jesus melebarkan jurang, sekali gus menyaksikan tuan rumah menang dengan keputusan 3-1.
Keputusan berkenaan pastinya cukup menggembirakan penyokong kelab London itu memandangkan perlawanan berkenaan cukup hangat sepanjang 90 minit permainan.
Tetapi, bagi seorang peminat setia Arsenal yang hadir untuk menyaksikan pertembungan itu, keghairahan tersebut disalurkan dengan pendekatan berbeza apabila dia melakukan kekasaran terhadap legenda Manchester United, Roy Keane.
Keane yang hadir ke Stadium Emirates, London ketika aksi EPL itu sebagai pengulas mempunyai reputasi kurang baik dalam kalangan penyokong lawan, lebih-lebih lagi semasa dia masih bergelar seorang pemain.
Berdasarkan laporan saksi, individu tidak dikenali tersebut didapati cuba untuk menyerang bekas kapten skuad The Red Devils itu di kepala, namun sempat ditarik pekerja berdekatan.
Selain itu, kes berkenaan turut menerima perhatian ramai selepas rakan sejawat Keane, Micah Richards hadir untuk meleraikan pertikaian itu sambil mempersoalkan tindakan individu berkenaan.
Tetapi, berdasarkan kenyataan pihak polis, suspek berjaya meloloskan diri sebelum pegawai keselamatan tiba dengan usaha untuk mencari individu itu sedang giat dilakukan.
Keane dan Richards juga difahamkan masih belum mengeluarkan sebarang laporan mengenai insiden itu bagi memberi ruang buat pihak berkuasa untuk menyelesaikannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram