SEBUT sahaja tentang Bill Gates, pasti ramai yang mengenalinya sebagai pengasas bersama Microsoft.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu jutawan itu juga merupakan antara individu penting yang membiayai projek pelepasan nyamuk Aedes aegypti melalui dana daripada Yayasan Bill & Melinda Gates.
Projek dengan kerjasama anak syarikat biologi sintetik, Intrexon Corp, Amerika Syarikat (AS) di United Kingdom, Oxitec itu dilakukan dengan melepaskan ribuan nyamuk jantan yang sudah diubah suai secara genetik khusus di Florida, AS.
Oxitec berusaha menghasilkan versi Aedes aegypti bertujuan membantu mengawal penyakit-penyakit yang dibawa oleh nyamuk.
Namun begitu, usaha tersebut dilihat terus mendapat kecaman dan menjadi pertikaian segelintir rakyat AS.
Menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) pada Isnin, seorang pengguna media sosial, Liz Churchill mempertikaikan penglibatan Bill Gates dalam projek tersebut.
Ia susulan tular satu video memaparkan kejadian sebuah helikopter sedang melepaskan ribuan nyamuk melalui udara dipercayai di AS.
"Bill Gates bukan seorang saintis atau doktor. Kenapa Bill Gates melepaskan nyamuk ke atas rakyat Amerika?
"Berapa banyak lagi bukti yang diperlukan untuk meyakinkan orang ramai bahawa dia sedang membuat diabolical scheme? Tangkap Bill Gates," ciapnya.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, seorang pengguna Twitter dengan nama @nicoyaresearch tampil memberi penjelasan mengenai kajian tersebut.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembiakan nyamuk yang diubah suai secara genetik dan dihasilkan menerusi pelbagai projek penyelidikan bagi membendung penyebaran virus seperti denggi, Zika, malaria dan penyakit bawaan nyamuk lain.
Katanya, pada April 2021, Oxitec mengumumkan bahawa ia akan melepaskan kira-kira 150,000 nyamuk di enam lokasi di Florida, tetapi projek khusus ini tidak dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates.
Ujarnya lagi, dalam satu kajian, penyelidik telah menghasilkan spesies nyamuk Aedes aegypti jantan untuk mengawan dengan populasi betina liar, membawa gen yang berpindah kepada anak mereka dan membunuh keturunan nyamuk betina di peringkat awal larva.
"Benih jantan lelaki tidak akan mati tetapi mereka akan terus memiliki gen yang akan diwarisi kepada generasi akan datang.
"Langkah ini diharap untuk menghentikan baka nyamuk yang membawa malaria dan penyakit maut lain daripada membiak," ciapnya.
Untuk rekod, kerjasama Oxitec dengan Gates untuk menjayakan proyek itu sudah dilakukan sejak 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
