[VIDEO] Pemandu terlepas kena saman bawa lembu 'gergasi' di tempat duduk penumpang


  • Benua
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Kereta milik Meyer itu diubah suai bagi membolehkannya untuk membawa lembu jantannya. — AP

POLIS di Nebraska, Amerika Syarikat (AS) berdepan dengan satu insiden pelik selepas terpaksa menahan sebuah kenderaan dinaiki seekor lembu yang berada di tempat duduk hadapan penumpang kereta terbabit.

Sebelum itu, polis tempatan di bandar Norfolk negeri berkenaan menerima satu panggilan pada pagi Rabu yang melaporkan mengenai seorang lelaki yang memandu bersama seekor lembu.

Pegawai polis memberitahu media tempatan bahawa mereka pada mulanya hanya menjangkakan untuk menjumpai anak lembu kecil di dalam kenderaan terbabit.

Screenshot 2023-09-01 201731

Meyer bergambar bersama Howdy Doody. — Agensi

Bagaimanapun, ketika melakukan penahanan terhadap kereta tersebut, mereka sebaliknya terkejut apabila menemui lembu jantan Watusi, iaitu baka lembu yang terkenal dengan tanduk bersaiz besar.

Laporan media tempatan berkata, pemandu itu yang dikenali sebagai Lee Meyer merupakan seorang penduduk di Neligh, iaitu sebuah bandar terletak kira-kira 56 kilometer (km) dari barat Norfolk.

Dalam insiden tersebut, polis menahan Meyer bersama lembu jantannya berusia 9 tahun yang dinamakan dengan panggilan 'Howdy Doody' dan mempunyai berat mencecah 997 kilogram (kg).

Digahamkan, kenderaan milik lelaki itu diubah suai untuk memberi ruang kepada lembu jantan terbabit untuk duduk di bahagian hadapan kenderaan.

Menurut kenyataan daripada polis Norfolk, Meyer dilaporkan menerima satu surat amaran daripada pihak berkuasa yang memintanya meninggalkan bandar berkenaan dan membawa lembu jantan itu pulang ke tempat tinggalnya.

Meyer turut dilaporkan akur terhadap arahan tersebut dan berasa lega kerana tidak disaman. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram