[VIDEO] Budak perempuan cedera parah lepas ditanduk, dipijak lembu naik minyak


  • Benua
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian seorang kanak-kanak perempuan yang diserang seekor lembu ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

SEORANG kanak-kanak perempuan yang dalam perjalanan pulang dari sekolah cedera parah selepas seekor lembu tiba-tiba menyerangnya.

Kejadian mengerikan itu berlaku di Chennai, India dan dikongsikan menerusi laman Twitter pada Khamis, sebelum ia menjadi tular.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika kanak-kanak itu bersama ibu dan adiknya yang berusia lima tahun berjalan di sebuah laluan yang sempit.

Lembu itu yang diekori oleh anaknya dari belakang, secara tiba-tiba berpaling dan menyerang budak perempuan tersebut.

Selepas mendengar jeritannya, beberapa penduduk di sekitar kawasan itu berusaha untuk menyelamatkannya, namun cubaan mereka pada awalnya gagal.

Tidak lama kemudian, orang awam berjaya menarik gadis itu beberapa meter daripada lembu tersebut selama beberapa saat, tetapi haiwan itu sekali lagi menyerangnya secara berulang kali hingga akhirnya ia mengalah dan meninggalkan gadis malang itu sendirian.

Rata-rata pengguna media sosial berpandangan, kelakuan lembu itu adalah bertujuan untuk melindungi anaknya.

Sementara itu, gadis berkenaan dilaporkan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

Ekoran aduan daripada ibu kanak-kanak itu, pemilik lembu tersebut, seorang lelaki berusia 26 tahun telah ditahan dan dikenakan denda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram