
POLIS di India sedang menyiasat video tular memaparkan kejadian seorang guru wanita di sebuah sekolah mengarahkan murid-muridnya untuk menampar rakan sekelas mereka yang beragama Islam.
Menerusi rakaman berkenaan, budak lelaki berumur tujuh tahun itu dilihat sedang menangis ketika ditampar oleh beberapa orang rakannya di hadapan kelas.
Insiden itu berlaku pada Khamis di sebuah sekolah swasta di Uttar Pradesh, India.
Kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan kanak-kanak tersebut telah tersalah menyusun jadual kelasnya.
"Kenapa kamu pukul dia dengan sangat perlahan? Pukul dia dengan kuat," kedengaran guru itu memberi arahan kepada anak muridnya.
"Pukul pinggangnya, muka dia dah mula merah tu...pukul dia di pinggang pula," tambahnya.
Video itu menjadi tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan warga maya.
Pihak berkuasa di India turut mengesahkan video itu adalah benar dan menegaskan mereka akan mengambil tindakan susulan terhadap pihak terlibat.
Sementara itu, bapa mangsa dikhabarkan telah melaporkan kejadian itu kepada polis di daerah Muzaffarnagar, dan mengeluarkan anaknya dari sekolah terbabit, namun dia difahamkan tidak membuat dakwaan ke atas pihak sekolah.
Dalam masa sama, pemimpin pembangkang India, Rahul Gandhi menyalahkan kerajaan kerana mencetuskan sikap tidak bertoleransi dalam agama.
Sekumpulan hak asasi manusia negara itu memberi amaran bahawa jenayah, benci dan keganasan terhadap minoriti Islam di India semakin meningkat sejak Narendra Modi menyandang jawatan sebagai perdana menteri pada 2014. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram