AKIBAT tidak berpuas hati dengan beberapa tindakan dilaksanakan pihak sekolah, sekumpulan murid di Maluku Tengah, Indonesia bertindak membuli seorang guru di pusat pendidikan tersebut.
Video insiden berkenaan yang dirakam menggunakan kamera telefon pintar tular di sosial media melalui perkongsian di akaun Facebook, Dhyka Gamal.
Menerusi klip berdurasi 31 saat itu, kunci motosikal dinaiki guru terbabit dilihat dirampas dan disembunyikan oleh salah seorang murid daripada kumpulan pelajar berkenaan.
Cubaan guru tersebut untuk mendapatkan semula kunci motosikalnya bagaimanapun tidak dilayan dengan kumpulan murid di sekeliling dilihat bersorak mengejeknya.
"Tak bisa pulang, tak bisa pulang, tak bisa pulang," laung kumpulan murid tersebut berulang kali.
Difahamkan, ketika kejadian, guru terbabit baru sahaja mahu bergerak pulang dari sekolah terbabit dengan menaiki motosikalnya.
Hasil maklumat diperoleh, guru tersebut yang dikenali dengan nama Maryam Latarissa merupakan wakil guru besar Sekolah Menengah Atas Negeri 15 Maluku Tengah.
Kejadian tersebut berlaku di kawasan parkir sekolah pada Isnin ketika kumpulan murid berkenaan sedang melakukan protes terhadap beberapa langkah yang dilaksanakan di institusi berkenaan.
Antara isu dibangkitkan kumpulan murid berkenaan adalah terhadap tindakan larangan untuk bersuara dan keadaan sekolah yang dikatakan tidak kondusif untuk pembelajaran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram