ISTERI seorang pensyarah di Kota Solo, Indonesia berhadapan dengan detik cemas selepas menerima bungkusan misteri berisi ular di kediamannya baru-baru ini.
Media melaporkan, bungkusan kotak yang ditujukan kepada suaminya, Kustanto, 50, itu dihantar oleh individu tidak dikenali menerusi pengawal keselamatan di kawasan perumahan pasangan tersebut di Malangjiwan Indah III Colomadu, Kecamatan Colomadu pada 10 April lalu.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Siti Nurnahari Zamaniyati hanya menyedari mengenai kehadiran ular di dalam kotak terbabit selepas dia membuka bungkusan itu ketika sudah berada di dalam rumahnya.
Polis daerah Colomadu memaklumkan, terdapat sebanyak 12 ekor ular daun berada dalam bungkusan tersebut yang dikirimkan seorang individu tidak dikenali dan memakai pelitup muka ketika menghantar kotak itu di pondok pengawal perumahan terbabit.
Susulan daripada itu, Siti Nurnahari yang terkejut dengan kejadian berkenaan segera memanggil pengawal keselamatan di kawasan kediamannya untuk mengeluarkan pesanan itu dari rumahnya.
Menerusi video dikongsikan berkenaan insiden berkenaan, wanita itu terjuga didengar menangis teresak-esak dan berada dalam ketakutan ekoran kejadian tersebut.
Ular jenis daun itu yang masing-masing mempunyai panjang antara 40 hingga 60 sentimeter itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan oleh pihak polis daerah.
Menerusi maklumat yang diletakkan pada bungkusan itu, ia ditujukan kepada suami Siti Nurnahari yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di bandar raya berkenaan.
Keluarga terbabit sudah membuat laporan polis mengenai kes berkenaan dengan pihak berkuasa dilaporkan masih sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti suspek bertanggungjawab menghantar bungkusan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram