[VIDEO] Sibuk rakam video, tentera Rusia terkedu dron sampai depan muka


  • Benua
  • Isnin, 31 Jul 2023

Tangkap layar rakaman daripada dron FPV digunakan unit sukarelawan tentera Kraken dalam operasi serangan terhadap kumpulan tentera Rusia. .

UNIT sukarelawan tentera Kraken di bawah Pasukan Perisikan Utama Kementerian Pertahanan Ukraine mendakwa mereka berjaya memusnahkan kumpulan pengendali dron Rusia di kawasan Bakhmut, Timur Ukraine.

Rakaman serangan dron tersebut turut disiarkan di saluran Telegram Kraken pada 29 Julai lalu.

Unit khas Kraken mengesan sekumpulan pengendali dron kawalan tanpa pemandu (UAV) pihak musuh semasa melakukan tinjauan udara di kawasan Bakhmut.

Susulan daripada itu, pasukan berkenaan melakukan serangan terhadap kumpulan tersebut dengan menggunakan alat letupan yang dilancarkan daripada dron jenis FPV.

Satu daripada rakaman menunjukkan serangan dron ke arah unit SUV yang dinaiki tentera Rusia.

Dron itu turut merakamkan detik-detik akhir yang menunjukkan wajah terkejut seorang daripada tentera Rusia yang sibuk merakam video menggunakan telefon pintarnya.

Bagaimanapun, detik letupan serangan itu tidak disiarkan dan kesemua tentera Rusia yang menaiki kenderaan tersebut dipercayai terbunuh.

Menurut tentera Ukraine, seramai 480 tentera Rusia dilapor terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Sejak bermulanya pencerobohan dan peperangan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022, maklumat daripada tentera Ukraine mengganggarkan Rusia kehilangan seramai kira-kira 245,700 anggota tenteranya dalam konflik berkenaan.

Dalam pada itu, perkembangan baharu menyaksikan tentera Ukraine meningkatkan serangan balas mereka dengan pasukan tersebut dilapor semakin menghampiri bandar Bakhmut yang kini menjadi medan pertempuran antara kedua-dua pihak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram