Gajah pijak mati wanita Orang Asli dihalau semula masuk hutan


  • 112
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Insiden tersebut berlaku ketika warga emas berusia 63 tahun itu pergi ke kebun untuk mengutip durian antara pukul 4 hingga 5 petang.

GAJAH liar yang dipercayai menyebabkan kematian wanita Orang Asli di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, Perak pada Ahad lepas berjaya dihalau semula ke hutan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, Unit Tindakan Gajah Negeri Perak membuat kawalan di lokasi kejadian dan menghalau semula gajah tersebut masuk ke hutan berhampiran.

"Kita berusaha menghalau gajah disyaki jantan yang datang dari Hutan Simpan Temenggor (Gerik, Perak) itu dari petang hingga malam tadi (Isnin)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan supaya membersihkan atau memusnahkan makanan gajah terutamanya rumput napier atau dikenali sebagai rumput gajah bagi mengelakkan ia kembali ke kawasan tersebut.

"Sekarang musim durian di sana, jadi mereka juga dinasihatkan tidak pergi ke kebun bersendirian dan ketika suasana gelap seperti awal pagi atau lewat petang," katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai wanita Orang Asli yang dipercayai dipijak seekor gajah di kawasan kebun durian berhampiran rumahnya pada pukul 5.30 petang Ahad lepas.

Zulfkifli dilaporkan berkata, warga emas berusia 63 tahun itu yang pergi ke kebun untuk mengutip durian antara pukul 4 hingga 5 petang terserempak lalu dipijak gajah kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan RPS Kemar dan disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Gerik, Perak pada pagi Isnin mendapati kematian akibat hentakan benda tumpul di dada dan mayatnya telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram