[VIDEO] Tiga beradik ‘Tanggang’, tergamak tinggalkan bapa merayu-rayu jangan ‘dibuang’ di tempat sampah


  • Benua
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar video tular memaparkan lelaki tersebut (berkerusi roda) sedang mendengar perbincangan antara anaknya dan pegawai kerajaan untuk menyerahkannya kepada pusat jagaan orang tua di Indonesia.

SATU insiden memilukan tular di sosial media di Indonesia selepas sekumpulan adik-beradik tergamak membuang ayahnya di tempat pembuangan sampah.

Pada awalnya, kisah sedih terpaksa dilalui lelaki warga emas itu mula menarik perhatian orang ramai selepas beberapa orang anaknya dirakam secara terbuka memberikan persetujuan menyerahkannya ke rumah jagaan orang tua.

Menerusi klip tersebut, lelaki itu yang sudah kelihatan uzur dan duduk di atas kerusi roda berada dalam keadaan sedih mendengar perbincangan antara pihak berkuasa dan bersama tiga orang anaknya.

Dalam perbincangan tersebut, dua individu dipercayai pegawai kerajaan sedang meminta pengesahan daripada anaknya berkenaan pendirian mereka untuk menghantar bapanya ke rumah orang tua.

Susulan daripada persetujuan diberikan itu, lelaki itu yang mempunyai kesukaran untuk bercakap dilihat seolah-olah sedih dan merayu kepada anak-anaknya yang didapati langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah.

Lebih menyedihkan, hantaran pada video tular itu menyatakan bahawa penyerahan tersebut sebenarnya hanya dibuat selepas tindakan adik-beradik itu membuang bapa mereka ke tempat pembuangan sampah mendapat perhatian masyarakat.

“Tular anak-anak yang sanggup untuk meletakkan bapanya di tempat pembuangan sampah sebelum akhirnya bersetuju menyerahkan bapanya ke rumah orang tua,” tulis hantaran yang berkongsikan video tersebut di Instagram dengan menggunakan nama akaun berbagisemangat.

Insiden tersebut ternyata mengundang simpati dalam kalangan warganet di Indonesia yang rata-ratanya melahirkan kekecewaan mereka terhadap keputusan dibuat oleh adik-beradik tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram