SEORANG lelaki Indonesia tergamak membunuh anak tirinya berusia lapan tahun gara-gara ingin mendapatkan bantuan kewangan dan beras daripada jiran tetangga.
Suspek yang hanya dikenali sebagai NH, 21, membunuh mangsa di tengah-tengah sawah di Desa Tamiang, Gunung Kaler, Kabupaten Tangerang, Indonesia pada 28 Julai lalu.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tangerang,Arief Nazaruddin, suspek yang bekerja sebagai buruh bertindak membunuh mangsa kerana ingin mendapatkan beras dan bantuan kewangan.
Katanya, pada waktu kejadian suspek bersama mangsa dan ibunya sedang membuang air besar di kawasan tersebut.
Namun, ibu kandung mangsa pulang terlebih dahulu dan meninggalkan mereka berdua.
"Mangsa yang ketika itu sedang membuang air besar kemudiannya dicekik oleh suspek sehingga mati sebelum mayatnya ditinggalkan di tengah sawah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Arief lagi, hasil siasatan awal, polis telah menyoal siasat sembilan orang saksi.
"Suspek kini sudahpun ditangkap dan bakal didakwa dalam masa terdekat.
"Sekiranya didapati bersalah, suspek bakal berdepan dengan hukuman penjara lebih daripada 15 tahun," jelasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram