PERLAWANAN minggu keenam Liga 1 Indonesia bagi musim 2023-2024 antara PSS Sleman menentang Persija Jakarta yang berakhir dengan jaringan 1-3 membuatkan penyokong lawan kecewa sehingga merempuh masuk ke kawasan padang.
Gol daripada Hanif Sjahbandi (16'), Firza Andika (24'), dan Ryo Matsumura (52') membawa Persija menang 3-1 di laman PSS Sleman di Stadium Maguwoharjo, Yogyakarta, Indonesia pada Jumaat.
PSS Sleman yang hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi sepakan keras Jonathan Bustos pada minit ke-72 masih perlu menunggu kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini.
Setelah beraksi sebanyak tiga kali di laman sendiri dalam Liga 1 2023-2024, PSS Sleman masih belum meraih kemenangan.
Berdasarkan laporan perlawanan pasukan yang juga dikenali sebagai Super Elang Jawa itu menunjukkan mereka baru memperoleh dua seri dan satu kekalahan.
Selepas kekalahan di tangan Persija, beberapa peminat dilihat berlari ke kawasan padang dan mengejar pemain dari kedua-dua pasukan tersebut.
Selain masuk ke padang, sebilangan peminat menghampiri lorong stadium yang menghala ke bilik persalinan dan meminta pemain PSS Sleman keluar bertemu mereka.
Bukan itu sahaja, mereka juga mengejar pengadil untuk membantah perlawanan yang dianggap berat sebelah dan memihak kepada pasukan pelawat itu.
Setelah lama menyorok, beberapa pemain PSS Sleman akhirnya akur dengan permintaan peminat dan kembali ke padang untuk bertemu mereka.
Bagaimanapun, dialog antara pemain dan penyokong yang memenuhi stand Selatan Stadium Maguwoharjo tidak bertahan lama.
Tidak terhenti di situ, peminat PSS Sleman turut mengerumuni pintu keluar pemain yang mana membuatkan pemain Super Elang Jawa itu terperangkap lama di stadium.
Dalam pada itu, video pertahanan Persija Jakarta, Ondrej Kudela yang menahan penyokong PSS Sleman ketika cuba menyerang pengadil, turut menjadi viral. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram