[VIDEO] Tak pandai masak tak apa, bakal mentua uji calon menantu pegang bulus comel


  • Benua
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan gelagat seorang wanita yang diuji bakal ibu mertuanya untuk menyentuh seekor anak kucing.

INDIVIDU yang mengalami Ailurophobia biasanya akan memperlihatkan reaksi panik dan ketakutan apabila terserempak dengan kucing.

Begitulah yang dialami oleh seorang wanita apabila bakal ibu mertuanya memberinya ujian untuk menyentuh seekor anak kucing baru-baru ini.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Bandung, Indonesia itu dikongsikan di laman TikTok baru-baru ini sebelum ia tular.

Berdasarkan video tersebut, wanita berkenaan dilihat bersungguh-sungguh memberitahu bahawa dia takut akan haiwan tersebut.

Bagaimanapun, enggan mempedulikan permintaan wanita itu agar menjauhkan dirinya daripada haiwan comel tersebut, bakal ibu mentuanya masih cuba mengusik dengan menarik tangan wanita tersebut agar menyentuh kucing yang sedang digendongnya.

Gelagat wanita berkenaan menjadi buah mulut warga maya gara-gara tingkah lakunya yang disifatkan lucu.

“Diuji kebolehan memasak (tanda pangkah), diuji harus berani pegang anak kucing (tanda betul),” menurut keterangan pada video tersebut.

Disebabkan rasa takut, wanita tersebut beberapa kali menarik tangannya, namun dia tetap memberanikan diri untuk cuba menyentuh anak kucing berwarna putih itu meskipun hanya menggunakan satu jari.

Namun, setiap kali anak kucing mengeluarkan suara, wanita itu menarik semula tangannya akibat ketakutan, sehingga dia akhirnya berjaya membelai haiwan tersebut dengan tenang beberapa minit kemudian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram