SEORANG mahasiswa dihadapkan ke mahkamah selepas disyaki membunuh seorang junior kolejnya pada 2 Ogos lalu.
Pelaku, Altafasalya Ardnika Basya mengaku membunuh mangsa, Muhammad Naufal Zidan kerana dikelilingi hutang selepas mengalami kerugian pelaburan mata wang kripto dalam talian sebanyak 80 juta rupiah atau bersamaan RM24,048.
Mahasiswa daripada Universiti Indonesia itu dipercayai berniat untuk membunuh Muhammad Naufal bagi tujuan mendapatkan harta dan barangan mewah yang dimiliki oleh pelajar baharu tersebut.
“Saya putus asa, tidak dapat cari jalan lain untuk menyelesaikan masalah sendiri. Saya cuba pelbagai cara, dan jalan yang terakhir ialah (membunuh mangsa),” katanya.
Dia mengakui mendapat inspirasi daripada siri popular Netflix berjudul Narcos ketika melakukan pembunuhan itu, yang mana dia dilaporkan telah menikam mangsa berkali-kali.
Untuk rekod, Muhammad Naufal ditemui dalam bungkusan plastik hitam yang diletakkan di bawah katil bilik tumpangan mangsa di Jalan Palakali, Desa Kukusan, Bandaraya Depok, Indonesia.
Pegawai polis daerah Depok, Nirwan Pohan berkata, mayat mangsa ditemukan selepas salah seorang ahli keluarganya pergi ke rumah tersebut untuk melawat.
Bagaimanapun, Altafasalya mengaku tidak sempat menjual barangan mewah milik mangsa kerana mengalami mimpi ngeri.
Ini kerana, sejak peristiwa tersebut, dia mengaku dirinya sentiasa dikejar bayangan mangsa sehingga menjadi trauma. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram