ISU keselamatan jalan raya merupakan antara perkara utama yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.
Statistik pada tahun lalu menunjukkan satu kematian berlaku akibat kemalangan jalan raya di dalam negara bagi tempoh setiap 90 minit.
Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Kulanthayan K.C Mani berkata, jumlah keseluruhan kes kemalangan dicatatkan pada 2022 adalah sebanyak 545,630 manakala kematian direkodkan pula adalah sejumlah 6,076.
Di sebalik angka kemalangan dan kematian yang agak menggerunkan itu, perkara tersebut dilihat seakan-akan masih diambil mudah oleh segelintir pihak.
Pada Isnin, penganalisis automotif tempatan, Hezeri Samsuri, berkongsikan sekeping gambar agak merisaukan memaparkan keberadaan sebuah lori balak di atas lebuh raya dipercayai sekitar Kuala Lumpur pada waktu malam.
"Kuala Lumpur...Malam-malam pun lori balak boleh lalu. Negara maju t**k kucing," katanya menerusi ciapan di Twitternya dalam perkongsian berkenaan.
Berdasarkan gambar dikongsikan itu, lori yang sarat dengan muatan kayu balak tersebut dilihat dipandu di lorong tengah lebuh raya berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan waktu sebenar gambar berkenaan diambil.
Kehadiran kenderaan berat di lebuh raya terutamanya di waktu puncak sememangnya berpotensi meningkatkan risiko kemalangan terutamanya kepada pengguna jalan raya lain.
Kuala Lumpur .... Malam malam pun lori balak boleh lalu.
Negara maju taik kucing. pic.twitter.com/MVhA0uIl6u
— Hezeri Samsuri (@HezeriSamsuri) June 26, 2023
Dalam pada itu, terdapat pengguna lain mendakwa bahawa sudah menjadi kebiasaan untuk melihat kenderaan berat berada di lebuh raya dan jalan sekitar Kuala Lumpur.
"Ni belum tunjuk lagi (gambar) lori-lori dan kenderaan berat, bersepah-sepah menggunakan Jalan Kuching (Kuala Lumpur) pukul 6.10 pagi menghala masuk ke KL," tulis manoorimankar.
Untuk rekod, sejak Jun tahu lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mula melaksakanan larangan kepada semua kenderaan berat bermuatan lebih 7,500 kilogram daripada memasuki jalan raya utama di bandar raya bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram