Residen bengang bekas pengacara TV kebal, terlepas hukuman buat onar di kawasan kondominium


  • Tular
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Tangkap layar kerosakan pengadang yang dipercayai dilanggar oleh selebriti berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan.

TULAR di laman Twitter beberapa gambar dipercayai bekas pengacara televisyen terkenal membuat kecoh serta perbuatan khianat merosakkan palang di pintu masuk sebuah kawasan kondominium yang terletak di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pemilik akaun Twitter @rubyrahman turut mendakwa insiden tersebut bukanlah yang kali pertama berlaku melibatkan selebriti berkenaan.

"Bukan gosip biasa. Sangat kebal, langgar tiang pengadang di pondok pengawal keselamatan, cubaan langgar pengawal keselamatan, pecahkan barang di pejabat pengurusan kondominium dan memukul salah seorang pekerja perempuan di sana menggunakan kayu.

"Dia turut merosakkan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dan barangan lain. Selain itu, dia juga boleh meletak kenderaan sesuka hati kawasan kondominium tersebut.

"Namun, tiada satu tindakan pun yang diambil walaupun ia kerap kali terjadi dan saya percaya ini bukan kali yang terakhir dia bertindak sedemikian," katanya.

Tambah Ruby yang juga jiran kepada selebriti terkenal tersebut, wanita berkenaan pernah membuang pasu bunga dari tingkat sembilan bangunan tersebut.

"Dia pernah buang pasu bunga dari tingkat sembilan unit dia, hampir terkena kereta kami. Kalau dia rasa dia nak campak benda dari kereta, dia buat sahaja.

"Polis cakap 'maaf kita tak boleh buat apa-apa'. Apabila sudah mendapat jawapan seperti itu, faham-faham saja lah.

"Undang-undang di Malaysia macam tak terpakai kalau yang bersalah itu ada seseorang yang 'cover' di atas. Tunggu ada yang mati kena bunuh baru nak bertindak? Itu pun kalau ada tindakan," luahnya dengan kecewa.

Bercerita lanjut, Ruby berkata, pengacara berkenaan membuat pusingan beberapa kali melanggar tiang pengadang di pondok pengawal keselamatan berkenaan.

"Dia marah sebab dapat notis daripada pihak pengurusan kondominium ekoran tidak membayar management fee dan mengamuk kononnya ada orang pecah masuk unit dia curi cincin kahwin.

"Selepas itu apa jadi? Polis tunggu dia panggil pembantu peribadi dia datang bagi ubat penenang dan dia naik atas unit dia macam tak ada apa yang jadi.

"Sekarang menyusahkan semua penduduk nak keluar masuk," katanya lagi.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak kondominium berkenaan ataupun pihak berkuasa.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram