
SEORANG doktor di Makassar, Sulawesi, Indonesia bertindak di luar dugaan apabila melempang seorang kanak-kanak berusia tiga tahun kerana dipercayai menganggunya yang sedang bermain catur.
Rakaman kejadian yang berlaku di sebuah warung kopi di bandar tersebut pada minggu lalu itu tular menerusi video diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di premis berkenaan.
Berdasarkan klip berkenaan, budak tersebut yang memakai baju putih dilihat menghampiri doktor berkenaan sebelum mengarahkan tangannya ke arah papan catur yang terletak di atas meja.
Tindakan kanak-kanak itu menganggu doktor terbabit yang sedang bermain catur dipercayai menjadi punca menyebabkan dirinya ditempeleng sehingga terjatuh di atas lantai.
Individu terbabit yang juga kini dikenali sebagai Dr Makmur turut difahamkan memarahi mangsa dan memberikan ancaman kepada ayah kanak-kanak itu ekoran kejadian tersebut.
Susulan daripada itu, media pada Isnin melaporkan bahawa doktor terbabit yang bertugas sebagai pegawai pengurusan di Rumah Sakit Umum (RSU) Bahagia Makassaar sudah dipecat tugasannya susulan insiden berkenaan.
Pada masa sama, media melaporkan Dr Makmur disyaki sedang mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
"Menurut maklumat daripada teman pejabatnya, dia dilihat kerap menyendiri dan murung dalam tempoh seminggu terakhir sebelum kejadian.
"Jadi kami membuat kesimpulan hasil perbincangan bersama pihak pengurusan bahawa ada kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan keadaannya yang disyaki mengalami masalah kemurungan," ujar penasihat perundangan RSU Bahagia Makassar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram