[VIDEO] Nyawa masih panjang, pekerja wanita pucat lesi lepas satu jam bergelut keluar dari mulut buaya


  • Benua
  • Isnin, 31 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan pekerja kelapa sawit diserang buaya ketika mengisi tangki air di sebuah sungai di kawasan perusahaan kelapa sawit di Kalimantan Barat.

SEORANG pekerja kelapa sawit berdepan detik cemas setelah diserang buaya selama sejam 30 minit ketika mengisi tangki air di sebuah sungai di kawasan perusahaan kelapa sawit di Desa Air Hitam Besar, Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Ketua Polis Daerah Ketapang, AKBP Tommy Ferdian berkata, wanita berusia 38 tahun dengan nama FD itu dilaporkan selamat walaupun badannya mengalami luka gigitan reptilia buas tersebut.

"Mangsa adalah pekerja kelapa sawit dari Nusa Tenggara Timur (NTT). Ketika diserang, dia sedang mengisi tangki air untuk menyembur racun rumput di sungai," katanya.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada pagi, Khamis.

Tambah Tommy lagi, mangsa yang diterkam kemudian diseret oleh buaya tersebut masuk ke dalam sungai.

Ujarnya, dalam situasi tegang itu, rakan sekerja mangsa turut cuba untuk membantu selepas mendengar jeritan FD.

"Memang agak lama mangsa diheret buaya itu tetapi ada rakan mangsa di situ yang segera menghulurkan bantuan.

"Bantuan itu juga mengambil masa kira-kira satu jam, mungkin mereka yang ingin menyelamatkan juga takut dan perlu juga berhati-hati," jelasnya.

Katanya, selepas diselamatkan, mangsa kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.

"Kecederaannya agak teruk terutama di kaki kiri dan kanan, betis, peha dan belakang. Selepas diselamatkan, mereka terus dibawa ke klinik syarikat sawit itu," kata Tommy. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram