SEORANG penjaga zoo maut apabila dibelasah oleh seekor beruang, selepas mangsa terlupa menutup pintu pagar keselamatan.
Pekerja itu yang hanya dikenali sebagai A.G pada mulanya memasuki kandang terbabit untuk memberi makanan kepada haiwan buas tersebut.
Namun, mangsa kemudian terlupa menutup semula pintu pagar, menyebabkan haiwan tersebut mengheret badan mangsa ke tengah-tengah kandang.
Pekerja lain yang menyaksikan perkara itu cuba membaling papan kayu dan batu ke arah beruang dari luar kandang, sebelum dua daripadanya memutuskan untuk masuk ke dalam.
Dua penjaga zoo itu dilihat menggunakan galah panjang untuk menghentikan serangan haiwan terbabit.
Namun, rakan sekerja mereka dilihat cedera parah dan tidak dapat diselamatkan.
Serangan mengejut itu berlaku di Andijan, Uzbekistan pada 3 Januari lalu, namun video tular berhubung perkara itu baru sahaja disiarkan baru-baru ini.
Pemeriksaan perubatan forensik akan diselesaikan, manakala kes jenayah sudah dibuka polis tempatan bagi menyiasat isu keselamatan di zoo terbabit.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram