TINDAKAN seorang pemuda Indonesia yang berani membelai ekor buaya mengundang perhatian ramai apabila dia nyaris maut dibaham haiwan reptilia ganas tersebut baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku di tebing sungai Jambatan Lalove, Kecamatan Tatanga, Kota Palu, Sulawesi Tengah Indonesia kini tular di laman Instagram sejak Rabu.
Ketika kejadian, pemuda tersebut dilihat begitu yakin untuk menyentuh dan membelai buaya berkenaan di khalayak ramai.
Meskipun penduduk kampung cuba menghalang dan melaungkan amaran kepadanya, lelaki itu difahamkan enggan menyerah kalah apabila terus mendekati haiwan terbabit.
Dianggarkan, buaya tersebut berukuran sepanjang kira-kira empat meter.
Berdasarkan video itu, lelaki tersebut terlebih dahulu dilihat menarik ekor buaya terbabit beberapa kali sebelum mencuba untuk membelai badannya.
Namun, tindakannya terhenti di situ apabila buaya itu kemudiannya berpusing dan menerkam lelaki tersebut secara tiba-tiba.
Tersentak dengan serangan itu, lelaki terbabit pantas mengelak dan melarikan diri daripada haiwan itu sekali gus berjaya menyelamatkan diri daripada situasi bahaya tersebut.
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pemuda berkenaan.
“Haiwan buaya tidak sesuai untuk dibuat main, boleh menyebabkan kecederaan ataupun mungkin boleh mati jika dibaham,” kata muhammadrfk.
“Sepatutnya orang macam itu dibiarkan di dalam kandang buaya ataupun zoo, biar dia bermain sepuasnya,” jelas agungzaddam21.
“Dia masih beruntung kerana buaya itu tidak terus menerkam dan menyerangnya, kalau tidak mesti mati,” tambah nobleparanna.
Namun, belum ada sebarang maklumat lanjut berkenaan situasi terkini pemuda berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram