AKIBAT tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak menyebelahi pasukannya, seorang pengurus kelab bola sepak di China bertindak di luar kawalan apabila menampar muka pengadil perlawanan sebelum jatuh pengsan di tepi padang.
Insiden mengejutkan membabitkan Pengurus Liaoning Shenyang City, Duan Xin itu berlaku ketika waktu separuh masa pertama perlawanan Divisyen Kedua yang berlangsung di bandar Nanjin, China pada Ahad.
Semasa kejadian, Duan Xin yang kelihatan berang dengan beberapa keputusan dibuat pengadil khususnya dalam menolak permintaan pasukannya untuk dihadiahkan sepakan penalti, dilihat bertindak mengamuk di garisan tepi padang.
Susulan daripada itu, pengadil perlawanan, Chen Hao memberikan kad kuning kepada salah seorang pembantu pengurus pasukan terbabit.
Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan Duan Xin bertambah berang sehingga membuatkan dirinya menampar pengadil berkenaan di bahagian muka.
Tindakan berkenaan menyebabkan Chen Hao dengan segera melayangkan kad merah kepada Duan Xin dan terus menimbulkan perbalahan antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan terlibat.
Dalam situasi kelam kabut tersebut, Duan Xin kemudiannya dilihat rebah secara tiba-tiba sebelum dipindahkan ke hospital.
Ujian dibuat mendapati pengurus itu pengsan kerana mengalami darah tinggi, namun dilaporkan sudah kembali sihat dan dibenarkan keluar daripada pusat kesihatan terbabit.
Dalam pada itu, Duan Xin selepas itu dilaporkan mengakui perbuatan dilakukannya itu adalah salah dan memohon maaf serta bersedia untuk menerima sebarang hukuman daripada Persatuan Bola Sepak China.
Dia juga difahamkan sudah bertemu membuat permohonan maaf kepada Chen Hao.
Keputusan perlawanan menyaksikan Liaoning Shenyang City tewas 0-4. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram