BENCANA banjir lahar dari Gunung Semeru yang berlaku pada Jumaat menyebabkan sebanyak empat jambatan di Daerah Lumajang, Jawa Timur, Indonesia terputus selepas terkena aliran deras lahar panas tersebut.
Menurut laporan Detiknews, jambatan yang terputus itu menghubungkan beberapa kampung di dua mukim di sekitar daerah berkenaan.
Antara yang mengalami nasib tersebut adalah jambatan gantung Kali Regoyo dan jambatan penghubung antara Daerah Lumajang dan Malang.
"Di jambatan Sungai Regoyo Gondoruso, paras lahar dan air di sungai itu didapati meningkat sangat tinggi sehingga meluap ke atas jambatan," kata Ketua Polis Daerah Pasirian, Agus Sugihart seperti yang dipetik Antara News.
Menurutnya, pihak polis juga masih melarang sebarang kenderaan untuk melintasi kawasan tersebut memandangkan keadaan masih belum pulih dengan cuaca hujan dilihat masih turun dengan agak lebat.
Beberapa video tular yang dirakam oleh orang awam turut menunjukkan keadaan kerosakan yang dialami oleh beberapa jambatan susulan bencana berkenaan.
Antara jambatan gantung di Lumajang yang terputus akibat terkena lahar gunung berapi pada Jumaat. — Agensi
Selain banjir lahar, Daerah Lumajang turut berhadapan dengan bencana tanah runtuh di beberapa kawasan dan turut menyebabkan penutupan beberapa jalan utama.
Dalam pada itu, Kompas TV melaporkan bahawa pihak berkuasa Daerah Lumajang menetapkan bahawa daerah tersebut akan berada di bawah tempoh darurat selama 14 hari bermula Jumaat ekoran bencana tersebut.
Ketua Daerah Lumajang, Thoriqul Haq berkata, langkah tersebut diambil sebagai langkah persediaan memandangkan keadaan jumlah curahan hujan yang agak tinggi manakala situasi lahar dari Gunung Semeru pula masih tidak menentu.
Setakat Jumaat, CNN Indonesia melaporkan sebanyak 393 penduduk Lumajang dipindahkan ke kawasan selamat ekoran bencana berkenaan dan jumlah itu dijangka terus bertambah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram