[VIDEO] Buat hal lagi, mahasiswi terpaling cantik sindir penduduk kampung


  • Benua
  • Isnin, 24 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan mahasiswi daripada sebuah universiti di Indonesia memuat naik konten di media sosial yang memperlekehkan penduduk kampung semasa program KKN.

SEBELUM ini kecoh apabila sekumpulan mahasiswa dari Universiti Negeri Padang, Indonesia yang sedang menjalani program khidmat masyarakat di sebuah kampung dihalau penduduk selepas membuat video menyindir kawasan perkampungan tersebut tidak dilengkapi bekalan air.

Baru sahaja isu itu reda, tular lagi video memaparkan para pelajar universiti yang juga sedang menjalani Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) di sebuah kampung memuat naik konten media sosial yang menyinggung perasaan penduduk setempat.

Difahamkan, sekumpulan pelajar wanita terbabit menghasilkan video mengatakan bahawa tiada wanita berwajah cantik di kampung tersebut.

Malah, mahasiswi itu merasakan mereka adalah sosok yang mempunyai wajah paling cantik di situ.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan nama universiti pelajar berkenaan.

Bagaimanapun setelah mendapat rungutan daripada penduduk kampung, pelajar tersebut memuat naik satu lagi video permohonan maaf kepada mereka yang tersinggung akibat perlakuan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menyifatkan video dibuat oleh mahasiswi terbabit sebagai biadab.

Tingkah itu tidak sepatutnya dilakukan golongan berkenaan, apatah lagi sewaktu menjalani program khidmat masyarakat di sesebuah perkampungan.

Mahasiswi berkenaan akhirnya membuat video permohonan maaf kepada penduduk kampung.

"Sekarang kanak-kanak/remaja miskin dalam etika kerana ibu bapa mereka tidak mengambil bahagian dalam mendidik mereka atau memberi contoh kepada mereka, (inilah akibatnya) pelajaran akhlak dibuang dan pelajaran agama dikurangkan di sekolah," ciap Anto Mkm.

"Sebagai seorang pelajar, kenapa perlu menggunakan kaedah yang melampau seperti ini. Di mana etika, adab dan akhlak? Semoga ini menjadi pengajaran buat yang lain juga," kata Kurniαwαn R.

"Bergelar pelajar, tetapi tidak faham istilah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," ujar GunGun.

"Yelah, zaman media sosial menyebabkan ramai pelajar menjadi kurang beretika, seperti ia tidak diajar di sekolah. Latihan KKN juga tidak mencukupi jika (diri sendiri) mempunyai masalah untuk beradab," tulis ZuryaRedDevilz. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram