SEKUMPULAN mahasiswa dari Universiti Negeri Padang, Indonesia yang sedang menjalani program khidmat masyarakat di sebuah kampung akhirnya menerima padah apabila dihalau penduduk selepas mereka membuat video menyindir kawasan perkampungan tersebut tidak dilengkapi bekalan air.
Difahamkan, ketika itu mereka sedang menjalani Program Kuliah Kerja Nyata (KKN) yang menjadi sebahagian daripada subjek untuk melengkapkan jam kredit mereka.
Video tular berdurasi 27 saat itu memaparkan pelajar-pelajar berkenaan memberitahu, mereka terpaksa mandi di surau berdekatan kerana rumah yang diduduki bersama keluarga angkat mereka tidak mempunyai bekalan air.
Selepas tularnya video berkenaan, penduduk di kawasan tersebut yang tersinggung dengan kandungan video itu memanggil pelajar-pelajar tersebut untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mereka.
Disebabkan maruah penduduk kampung yang tercalar, mereka bertindak menghalau pelajar-pelajar berkenaan keluar dari kampung tersebut dan digesa untuk melakukan program KKN itu di lokasi lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menyifatkan video dibuat oleh mahasiswa terbabit sebagai biadab dan tidak harus dilakukan oleh mereka yang sepatutnya menyelami permasalahan kampung berkenaan.
"Sepatutnya kampung tersebut dijadikan tempat berkumpulnya mahasiswa, jika saya jadi penduduk kampung itu tidak suka diperlekehkan.
"Jika kampung tersebut tidak mempunyai kemudahan asas, mereka sepatutnya membimbing penduduk di situ supaya lebih maju, barulah padan dengan program KKN," ciap @greennino.
"Kalau KKN di kampung yang jauh dan mempunyai kekurangan kemudahan itu lebih baik, ia adalah cabaran buat pelajar tersebut bagi menggunakan ilmu yang ada pada mereka.
"Fikirkan apa yang boleh dibangunkan di kampung itu, adakah pelajar-pelajar ini beranggapan KKN ini hanya program pindah tempat tidur sahaja," ciap @DISCOVERRIO.
Dalam pada itu, pihak universiti dalam satu kenyataan memaklumkan insiden itu hanya salah faham rentetan video itu dibuat secara suka-suka, namun tiba-tiba ditularkan pihak tertentu.
Pada masa sama, pihak universiti juga mengesahkan kesemua pelajar terbabit sudah memohon maaf secara terbuka kepada penduduk kampung tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram