40 penumpang berdepan detik cemas, tragedi feri karam korbankan 15 orang


  • Benua
  • Isnin, 24 Jul 2023

Pasukan penyelamat sedang mencari 19 mangsa lain belum dijumpai selepas sebuah feri didapati karam berdekatan Pulau Sulawesi, Indonesia pada Isnin. — Agensi

SERAMAI 15 orang terbunuh setakat ini, manakala 19 mangsa lain masih belum dijumpai selepas sebuah feri didapati karam berdekatan Pulau Sulawesi, Indonesia pada Isnin.

Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan di bandar Kendari, Sulawesi Tenggara, Muhamad Arafah berkata, feri tersebut membawa 40 orang penumpang dalam satu perjalanan merentasi jarak kurang setengah batu di Pulau Muna, kira-kira 200 kilometer (km) di selatan Kendari, ibu kota wilayah Sulawesi Tenggara.

Katanya, perjalanan, antara dua pekan kecil di kedua-dua belah Teluk Mawasangka, sepatutnya mengambil masa hanya 20 minit.

"(Operasi pencarian) pasukan pertama akan menyelam di sekitar tapak feri itu karam.

"Pasukan kedua pula akan melakukan pencarian di atas permukaan air sekitar lokasi kemalangan menggunakan bot getah dan bot panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhamad Arafah memaklumkan hanya enam penumpang dilaporkan terselamat dan kini sedang dirawat di hospital tempatan.

Kemalangan tersebut membabitkan kapal dan feri kerap berlaku di kepulauan Asia Tenggara dengan sekitar 17,000 pulau, yang mana orang ramai bergantung pada feri dan bot kecil untuk mengembara walaupun tahap keselamatannya rendah.

Pada 2018, lebih 150 orang lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera.

Pada Mei tahun lalu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram