[VIDEO] 'Mungkin ada jin maklumkan', MB Selangor doakan Suffi 'diberi syurga' kerana manipulasi isu ECRL Taman Sungai Sireh


  • Primer
  • Isnin, 24 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan Mohamad Suffi mendesak Amirudin turun bertemu dengan penduduk Taman Sungai Sireh berkenaan pembinaan ECRL di kawasan tersebut.

PROJEK pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor akan dimulakan pada 2025, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu mengulas tentang video tular memaparkan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohamad Suffi Kamari mendesak beliau untuk bertemu dan berbincang dengan penduduk di kawasan tersebut berkenaan pembinaan kemudahan pengangkutan awam itu.

Bagaimanapun Amirudin berkata, pihaknya telah menjelaskan isu tersebut pada Februari lalu.

"Pembinaan ECRL di Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor akan bermula pada 2025. Jadi memang tiada notis diberikan setakat ini.

"Jadi bila dia bertanya kepada penduduk-penduduk (Taman Sungai Sireh) dan mereka berkata tidak tahu apa-apa, memanglah sebab notis tidak dihantar lagi.

"Perobohan tidak dibuat dalam masa terdekat, yang sedang dibuat sekarang adalah penilaian untuk dicadangkan (kepada pemaju projek). Kerajaan negeri perlu mendapat realiti manakah jajaran yang sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Notis 5A kepada penduduk Taman Keramat di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut, Amirudin memerli Mohamad Suffi yang kononnya mengetahui kawasan Taman Sungai Sireh dan sekitarnya akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada laluan ERCL lebih awal daripada pihak lain.

Katanya setakat ini, pihaknya memberi fokus kepada jajaran bermula dari Gombak atau Janda Baik ke arah Serendah.

Selain itu, beliau turut memberikan fokus untuk penyelesaian isu tersebut di Gombak meliputi beberapa kawasan penduduk yang telah dikenal pasti.

"Tapi notis (kepada penduduk Taman Sungai Sireh) belum keluar, laporan terhadap kawasan-kawasan perumahan belum keluar. Jadi (mungkin) dia tahu awal tempat keluar, mungkin ada maklumat daripada jin.

"Jadi kita akan tangani satu persatu, ini adalah cara pentadbiran kerajaan yang dibuat dengan teratur berbanding dengan nak menyerbu sana sini.

"Tapi saya tahu ini adalah manipulasi menjelang PRN, dan saya doakan (Mohamad Suffi) diberikan syurga dengan permainan itu," katanya.

Majoriti pada Sabtu melaporkan satu video tular memaparkan Mohamad Suffi mendesak agar Amirudin bertemu dengan penduduk Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor yang didakwa bakal dihalau untuk memberi laluan kepada pembinaan kemudahan pengangkutan itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram