[VIDEO] Ada bunyi misteri di langit, saintis hantar belon gergasi 'penyiasat' 70,000 meter ke udara


  • Benua
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Sebuah belon gergasi dihantar sejauh 70,000 meter ke udara untuk merakam bunyi misteri yang dikatakan berlaku baru-baru ini.

SEBUAH belon suria gergasi dihantar sejauh 70,000 meter ke udara untuk merakam bunyi misteri yang direkodkan berlaku baru-baru ini.

Misi belon berkuasa solar yang dilancarkan oleh penyelidik dari Sandia National Laboratories, Mexico itu membawa mikrofon ke kawasan atmosfera Bumi yang berada sekitar 31 batu (50 kilometer) di lapisan bumi yang dipanggil stratosfera.

Ruang di situ difahamkan agak tenang dan bebas daripada ribut, gelora dan lalu lintas udara yang membolehkan mikrofon tersebut merakam segala bunyi dari bumi, sama ada ia berbentuk semula jadi ataupun buatan manusia.

Mikrofon yang digunakan dalam kajian ini dilaporkan berjaya merakam bunyian aneh yang berulang setiap jam.

Bunyi tersebut dirakam dalam julat infrasound pada frekuensi 20 hertz (Hz) yang lebih rendah dan jauh di bawah julat pendengaran telinga manusia.

Penderia itu dibawa tinggi oleh belon yang dibina oleh Daniel Bowman dan rakan penyelidiknya yang terlibat dalam kajian tersebut.

Difahamkan, belon itu dibina daripada bahan biasa dan murah.

Memperoleh sumber tenaga dari cahaya matahari, peranti berkenaan boleh mendaki sehingga ketinggian sekitar 70,000 meter (13.3 batu) di atas Bumi.

"Belon kami pada asasnya diperbuat daripada beg plastik gergasi dengan sedikit habuk arang di bahagian dalam untuk menjadikannya gelap.

"Kami membinanya menggunakan plastik pelukis dari kedai perkakasan, pita perkapalan dan serbuk arang dari kedai bekalan piroteknik.

"Apabila matahari menyinari belon gelap, udara di dalam menjadi panas dan menghasilkan rangsangan yang membolehkan ia terbang ke atas," kata Bowman.

Bowman menjelaskan bahawa kuasa suria pasif itu cukup untuk melonjakkan belon tersebut dari permukaan planet ke stratosfera.

Selepas pelancaran dilakukan, belon berkenaan dijejak dengan menggunakan peranti GPS, kerana belon selalunya boleh terbang sejauh ratusan batu dan mungkin mendarat di kawasan yang sukar untuk dikesan.

Selain digunakan untuk menyiasat bunyi misteri tersebut, belon berkuasa solar itu juga boleh digunakan untuk mengkaji objek misteri yang mempunyai jarak jauh dari Bumi.

Kaedah itu kini sedang diuji untuk mengetahui sama ada ia boleh bekerjasama dengan pengorbit Zuhrah untuk memerhati kesan gunung berapi melalui atmosferanya yang tebal ataupun tidak.

Kaji selidik pasukan yang menjalankan operasi ini akan dibentangkan oleh Bowman pada hari Khamis pada Mesyuarat Ke-184 Persatuan Akustik Amerika yang akan diadakan di Chicago, Amerika Syarikat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram