PENDAKI yang gemar memuat naik perkembangan pendakian mereka menerusi akaun media sosial buat tatapan peminat menerima berita baik apabila kini boleh melakukannya dalam masa sebenar.
Ia susulan pengumuman kerajaan Tanzania yang dilaporkan telah memasang internet berkelajuan tinggi di Gunung Kilimanjarou.
Gunung berapi tertinggi di Afrika dengan ketinggian 5,894 meter di atas paras laut itu merupakan lokasi popular dalam kalangan peminat aktiviti extreme saban tahun.
Setakat ini, kerajaan Tanzania telah melancarkan perkhidmatan tersebut pada ketinggian 3,657 meter bagi memudahkan pengunjung mengambil swafoto dan terus memuat naik gambar ke Instagram.
Pencapaian teknologi di salah satu daripada tiga puncak gunung berapi itu adalah yang pertama dan Tanzania merancang untuk memasang lebih banyak isyarat di Puncak Uhuru akhir tahun ini.
Pengunjung boleh memuat naik gambar mereka dalam masa sebenar. — Agensi
Menteri Penerangan dan Komunikasi Tanzania, Nape Moses Nnauye berkata, pemasangan perkhidmatan itu menandakan jalur lebar kini telah dipasang di 'bumbung Afrika'.
"Sebelum ini, agak bahaya bagi pengunjung dan pemandu pelancong untuk berada di gunung tersebut tanpa sebarang akses internet untuk mereka berhubung dengan sesiapa.
"Kini, semua pelawat akan dapat berkomunikasi dengan orang luar sehingga pada ketinggian 3,657 meter," katanya.
Gunung yang menarik kira-kira 35,000 pengunjung setiap tahun itu membawa pulangan berjumlah kira-kira $50,000,000 (RM223,825,000) kepada kerajaan Tanzania.
Sebagai rekod, pencawang internet tertinggi di dunia buat masa ini masih lagi milik Everest Link yang terletak di Kem Pangkalan Gunung Everest, Nepal pada ketinggian 5.364 meter. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram