SEORANG lelaki berusia 20 tahun yang didakwa meraba dua wanita di Cyberjaya ditahan di rumahnya kurang 10 kilomter (km) di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penghantar makanan itu ditahan petang Rabu.
“Suspek dikenal pasti daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan berdasarkan penerangan yang diberikan oleh mangsa.
“Rakaman itu menunjukkan suspek tiba di Tamarind Square dengan menaiki motosikal beberapa minit sebelum serangan pertama,” katanya.
Kedua-dua wanita itu diraba di Tamarind Square di Cyberjaya pada Selasa.
Wanita pertama diserang di tempat letak kereta pada pukul 2 petang, manakala mangsa kedua menjadi sasaran 15 minit kemudian di hadapan lif.
Wan Kamarul Azran berkata, mangsa pertama yang bekerja sebagai pembantu peribadi sedang memuatkan barang ke dalam keretanya apabila lelaki itu menghampirinya menawarkan bantuan.
“Selepas membantu memasukkan barang ke dalam kereta mangsa, dia memicit punggung mangsa dan melarikan diri,” katanya.
Mangsa kedua - seorang wanita berusia 34 tahun - sedang menunggu di lif di Tamarind Square apabila suspek memeluknya dari belakang dan merabanya.
Menurutnya, mangsa cuba melarikan diri tetapi suspek menolaknya hingga jatuh sebelum segera lari dari tempat kejadian. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram