[VIDEO] Anak penjaja tepi masjid jadi mangsa buli hingga mati dipukul senior


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Tangkap layar kejadian seorang murid di sebuah sekolah di Kota Medan, Indonesia dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas menjadi mangsa buli pelajar senior di sekolahnya.

SEORANG murid di sebuah sekolah di Kota Medan, Indonesia dilaporkan meninggal dunia dipercayai selepas menjadi mangsa buli pelajar senior di sekolahnya pada Khamis.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak berusia lapan tahun itu berlaku sekitar pukul 11.30 pagi.

Menceritakan kejadian tersebut, ibu mangsa, Yusraini menjelaskan, anaknya sebelum ini pernah mengadu kepadanya bahawa dia dibuli oleh pelajar lain di sekolahnya.

“Kami berniaga di Masjid Raya, Kota Medan, dia (mangsa) datang, kata ‘mak saya kena pukul’ sambil menangis dengan pucat (muka),” kata Yusraini kepada pemberita di Kota Medan.

Menurutnya, tidak sanggup melihat anaknya berterusan dibuli, dia nekad memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa pelajar terbabit, namun pelajar itu cuba menafikannya.

Mungkin berang dengan tindakan mangsa yang mengadu kepada ibunya, pelajar senior tersebut bertindak memukul mangsa hingga meninggal dunia.

“Budak ini (suspek) cakap mana ada dia pukul anak saya, tapi saya tak nak kecoh (dengan ibu bapanya).

“Saya cuma nak beritahu (bapa dia), tak mungkin anak saya menipu dia dibuli. Tentulah dia cakap begitu sebab memang dia benar-benar dipukul,” ujar Yusraini lagi.

Selepas kejadian anak itu dipukul, Yusriani berkata, anaknya mengalami demam panas dan enggan lagi hadir sekolah.

Difahamkan, sehari sebelum anaknya meninggal dunia, dia memberitahu bahawa terdapat lima pelajar yang telah menderanya, namun apakan daya, Yusriani kini hanya mampu pasrah dengan ketentuan ALLAH SWT. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram